Breaking

Feds Tidak Se”Hawkish” Yang Di Sangkakan

Views: 77
0 0

New York, USA, May 25 – Federal Reserve Amerika Syarikat hari ini menyiarkan minit mesyuaratnya yang terbaru dan pasaran melonjak selepas minit tersebut menunjukkan bahawa bank pusat AS itu besar kemungkinan hanya akan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas sahaja dalam mesyuaratnya pada Jun dan Julai nanti. Sebelum ini, gebang-gebang dari pelbagai pegawai tentang kenaikan sehingga 75 mata asas telah menyebabkan pasaran saham merudum.

 

Selama lapan minggu berturut-turut index DOW jatuh dan ianya merupakan kejatuhan yang terpanjang sejak 1923, menurut data dari FactSet. Pelabur leveraj yang gentar dengan kenyataan Federal Reserve AS yang mahu menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi, telah mengambil untung dan keluar dari pasaran. Keadaan pasaran yang kehilangan pembida telah menyebabkan panik dan seterusnya merudum.

Pasaran hadapan di CME meletakkan lebih 87% kebarangkalian untuk Feds AS menaikkan kadar sehingga 2% pada Julai nanti; sekaligus meletakkan 50 mata asas dalam jangkaan kenaikan untuk Jun dan Julai.

 

Pasaran memberikan reaksi positif dengan minit hari ini dan kenaikan index Russell (+1.95%) yang lebih tinggi berbanding Dow (+0.60%), S&P (+0.95%) dan Nasdaq (+1.51%) memberikan petanda sentimen yang “bullish” terhadap ekonomi AS buat masa ini. Namun, melihat kepada carta index DOW di atas, kami berpandangan bahawa ianya masih terlalu awal untuk memasuki pasaran.

Index DOW perlu kembali berada di atas paras 23.6% retracement dari paras terendah tahun 2020 dan paras tertinggi 2022, sekitar 32,532.60 mata untuk pelabur jangka panjang masuk membeli. Kelihatan ruang untuk memacu ke atas mempunyai banyak rintangan dan besar kemungkinan pelabur lebih berminat untuk menjual lantaran pasaran yang telah pun bertukar arah.

 

AMARAN RISIKO:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.