Breaking

CitiFX: Pandangan Trader Interbank – GBP/USD

Views: 693
0 0

Oleh kerana pandangan AUD/USD masih kekal seperti minggu ke-16, mari kita lihat pandangan untuk GBP/USD yang berjaya mencapai sasaran pertama pada 1.3950 dan kini masih bertarung dengan paras psikologi 1.3900, dimana pada minggu ini, minggu ke-18, pasaran akan menyaksikan pilihanraya Scotland dan juga keputusan kadar faedah Bank of England pada hari Khamis.

 

CitiFX:

Fundamental:

Citibank dilihat mengekalkan pandangan fundamental berikut:

  • Kini UK berdepan dengan risiko politik pilihanraya Scotland yang bakal diadakan pada 6 Mei nanti, yang dilihat boleh mengekang Pound, lantaran sikap pembeli yang lebih berhati-hati.
  • Keadaan kesihatan awam yang bertambah baik, membenarkan UK membuka ekonomiya semula ke paras normal dan kini pasaran kini tidak lagi menjangka BoE akan memasuki dasar kadar faedah negatif.
  • Rujukan nilai masa lampau, kini GBP/USD berada pada 10-15% lebih rendah dari nilai wajarnya. Seandainya program pemvaksinan UK berjalan seperti yang dirancangkan dan pembukaan semula ekonomi berjalan lancar, ini boleh menyokong Pound.

Citibank juga melihat beberapa faktor baru dalam penilaian Pound:

  • Kenyataan lemah FOMC mendorong kejatuhan Dollar dan ini menyokong Pound.
  • Namun begitu, KDNK Amerika Syarikat berkembang pada 6.4% untuk suku pertama 2021 dan kepenggunaan meningkat kukuh pada 10.7%; sekaligus menyokong Dollar dan mengekang Pound.

Teknikal

  • Pound dikekang pada paras rintangan 1.4009 sehingga 1.4117 dan berbalik. Ia cuba kekalkan kedudukan di atas paras “neckline” sekitar paras 1.3919, namun gagal. Kini kemungkinannya adalah lebih besar untuk Pound membuat pembetulan yang lebih jauh.
  • Sekiranya berlaku pembetulan, paras sokongan seterusnya adalah pada MA 100 hari, sekitar 1.3745 dan 1.3670
  • Citibank melihat pasangan GBP/USD “bearish” pada paras 1.4017 dan “bullish” pada paras 1.3747 serta menjangka sokongan utama pada 1.3734 sehingga 1.3670. Rintangan pula dilihat pada 1.4017 dan 1.4237.
  • Citibank menjangka GBP/USD kekal berada sekitar 1.39 dalam masa tiga bulan, 1.38 dalam masa 6-12 bulan dan menurun ke 1.37 untuk jangka panjang (lebih 12 bulan)

Pasaran Hadapan

  • Carta pasaran hadapan di atas menunjukkan proses “distribution” yang masih berjalan dengan pembeli dan penjual yang cuba menguasai pasaran. Ketika artikel ini ditulis, pembeli telah pun kembali menguasai paras 1.3900 dan sedang mengasak penjual ke kubu seterusnya pada 1.3920/50.
  • Kekuatan pembeli masih wujud dengan kelihatannya “volume weighted average price” (warna ungu) yang berada dalam trend menaik.
  • Laporan kedudukan spekulator dari CFTC pada dua minggu lepas pula menunjukkan spekulator terus menambah “net-long” dari $2.193 kepada $2.541 billion dan ini menunjukkan spekulator masih menjangka kenaikan kadar tukaran GBP/USD.

Pasaran Derivatif Opsyen

Permintaan dan penawaran di pasaran opsyen sehingga semalam (4/5) menunjukkan minat hak belian yang jauh melebihi minat hak jualan. Spekulator rata-rata berpandangan bahawa Pound akan terus memacu dan mampu memecah paras 1.3950/70 dan seterusnya 1.4000, walaupun ketika ini “yields spreads” lebih memihak kepada Dollar.

Dalam pandangan kami, sekiranya anda berminat dengan belian jangkaan pendek, belian pada 1.3900 dengan “stop loss” di bawah 1.3870 dan sasaran pada 1.3980 dan 1.4000 masih wajar. Namun dengan ketidaktentuan pilihanraya Scotland dan keputusan kadar faedah BoE pada hari Khamis, mungkin lebih baik duduk di tepi sahaja dahulu.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.