Breaking

Lepas Tesla, GameStop Pulak

Views: 467
0 0

Lepas Tesla (TSLA) meroket dan mengorbankan ramai trader-trader ternama, dengar cerita hari ini ramai lagi yang terkorban selepas saham GameStop (GME) pulak meroket. Untuk yang belum kenal GME, ianya adalah sebuah kedai menjual video game dengan rangkaian besar di seluruh Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Eropah. Awal tahun lepas, saham GME hanya bergerak sekitar $5 sahaja – dalam kategori “penny stocks”. Malah saya membelinya pada harga $5.21 pada lewat September 2019. Ya, lama sudah tu.

Empat suku selepas itu, GME melaporkan hanya satu keuntungan pada suku ke-empat 2019 dan selebihnya kerugian. Dengan datangnya pandemik corona, maka ramai pelabur melihat GME akan mati kerana ketiadaan pengunjung untuk menyewa dan membeli video game. Ya, GME tiada channel online untuk bermain video game. Maka, saya pun menjual saham tersebut dengan sedikit keuntungan selepas setahun memegangnya. Lagipun GME tiada membayar sebarang dividen.

Nah hari ini, GME meroket hampir mencapai $159 sebelum merudum dan menutup di bawah $76.80 sesaham gara-gara “short sellers” yang terpaksa membeli untuk menutup jualan mereka demi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Malah NYSE terpaksa menghentikan dagangan untuk GME sebanyak sembilan kali akibat pergerakan harga yang melebihi had. Nampaknya pelabur runcit telah menewaskan pelabur institusi dengan market order! Tetapi apa ada dengan GME sehingga pelabur runcit begitu menggila membida dan membeli pada harga tawaran? Sedangkan rata-rata penganalisa meletakkan sasaran harga yang rendah?

Sumber: www.benzinga.com

Ini semua berlaku selepas syarikat tersebut mengumumkan tiga pengarah baru yang akan menerajui masa depan GME, yang mana antara pengarah tersebut adalah Ryan Cohen, pengasas syarikat Chewy (CHWY). Untuk pengetahuan anda, Ryan telah berjaya merubah dan membawa Chewy dari syarikat pembuat makanan haiwan “brick and mortar” kepada syarikat online seperti Amazon (AMZN). Jadi pelabur melihat ini satu potensi untuk GME mencapai paras harga yang lebih tinggi. Itu sahaja.

Sumber: Refinitiv

Namun begitu, penganalisa melihat GME bakal melaporkan pendapatan sekitar $1.42 sesaham untuk suku ke-empat 2020. Ini masih rendah berbanding pendapatan yang dilaporkan pada suku ke-empat 2018 sebanyak $1.60! Jadi, jelas anda kini dapat melihat pelabur tidak lagi mengira pendapatan untuk menilai harga saham sesuatu syarikat. “Asset valuation” kini sudah bersandar pada harapan dan impian. Apa pun kita nantikan laporan kewangan GME pada 24 Mac nanti dan lihat reaksi pelabur.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

About Post Author

Abdul H. Jaffar