Breaking

Penyokong Trump Mengamuk Pasca Kekalahan di Georgia

Views: 234
0 0

Agak menyedihkan apa yang berlaku hari ini, selepas pilihanraya senat Amerika Syarikat mengesahkan kemenangan Parti Demokrat untuk dua kerusi di Georgia; penyokong Presiden Amerika Syarikat yang bakal keluar pejabat dua minggu lagi, mengamuk dan menyerang “Capitol Hill” di mana para penggubal undang-undang sedang bersidang untuk memutuskan dan mengisytiharkan kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Kekecohan yang berlaku dalam sekelip mata itu agak menghairankan kerana bangunan tersebut adalah antara bangunan yang terkawal ketat keselamatannya.

Dalam kejadian yang mengejutkan itu, beberapa orang pegawai “Capitol Hill” tercedera selepas terpaksa bergelut dengan para perusuh yang cuba menguasai ruangan persidangan. Seorang wanita yang belum dapat dikenalpasti telah diberitakan mati ditembak dan Pengawal Kebangsaan serta Polis Rusuhan terpaksa dikejarkan bagi mengawal keadaan. Para penggubal undang-undang terpaksa dikawal ketat dan dibawa keluar dari bangunan tersebut oleh khidmat risikan AS.

Pasaran saham AS dalam aktiviti dagangan lebihan masa hari ini, menutup tinggi dengan Dow mencapai paras tertinggi yang baru sekitar 30,829.40 (+1.44%), S&P500 memacu naik menutup 21.28 mata lebih tinggi pada 3,748.14 (+0.57%); kecuali Nasdaq yang menutup 78.17 mata lebih rendah, sekitar 12,740.79 mata (-0.61%). Pasaran menjangka dengan Parti Demokrat yang menguasai Kongres, Senat dan Rumah Putih, ini akan memberikan lebih kawalan ke atas syarikat teknologi dan kenaikan cukai yang bakal mendatang. Walaupun index S&P500 menutup tinggi, sektor Teknologi Maklumat, Kepenggunaan, Konsumer dan Komunikasi mengalami kejatuhan dan tiga kenaikan utama diketuai oleh Utiliti, Tenaga dan Kewangan. Emas merudum di bawah paras $1,925/oz selepas aktiviti mengambil untung menguasai pasaran.

Kongres dijangka akan meneruskan persidangan pada lewat malam Amerika Syarikat bagi meneruskan upacara akhir dalam mengisytiharkan kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Anda boleh menonton perkembangan terbaru di laman YouTube USAToday.