Breaking

Citibank: Pandangan Tahunan 2021

Views: 65
0 0

Biasalah bila awal tahun ni, banyak menerima laporan-laporan dari bank-bank dan pusat kajian tentang pandangan mereka untuk tahun 2021 dan apa yang mereka jangkakan boleh diambil kira dalam merangka strategi pelaburan dalam kerangka pasaran yang telah pun banyak berubah lantaran pandemik virus covid-19. Di sini kami kongsikan lima pandangan utama dari penganalisa Citibank dalam laporan terbaru mereka:

 

1. Perkembangan vaksin akan memulihkan ekonomi se-awal musim panas 2021.

Kehadiran pandemik korona yang tidak dijangka telah menguncupkan ekonomi dunia sebanyak 3.9% dan kehadiran vaksin yang dijangka akan berjalan lancar boleh menyaksikan perkembangan ekonomi dunia kembali kepada 5% pada tahun 2021 dengan sasaran se-awal musim panas 2021. Ketika ini, Citibank melihat kejayaan vaksin dari tiga syarikat pharmaseutikal utama akan membekalkan kira-kira 5 bilion dos vaksin dan keberkesanannya akan menjadi pemangkin untuk ekonomi kembali bangkit ke paras normal dengan inflasi sekitar 2%. Citibank juga menjangka bahawa inflasi akan terus meningkat ke sekitar 2.1% kesan dari dasar kewangan yang longgar.

 

2. Pelaburan utama dilihat di Eropah, Asia terutamanya Jepun dan Amerika Latin.

Dengan ekonomi Amerika Syarikat yang telah berkembang pesat selama lebih 10 tahun, Citibank melihat pelaburan dan perkembangan seterusnya adalah di Eropah, Asia-terutamanya Jepun dan Amerika Latin. Ini tidak menghairankan kerana permintaan terhadap Euro, Yen dan Peso telah pun kembali meningkat sejak Mac tahun lepas lagi. Malah pasaran saham Jepun dengan ukuran indeks Nikkei telah pun berada pada paras tertinggi dalam masa 30 tahun. Kali terakhir indeks Nikkei berada pada paras 27,400 adalah pada Ogos 1990.

 

3. Pelaburan dalam AS lebih fokus kepada syarikat kecil dan sederhana.

Kepada pelabur yang berminat dalam pasaran Amerika Syarikat, Citibank menyarankan fokus pelaburan adalah dalam syarikat kecil dan sederhana lantaran perkembangan syarikat gergasi yang telahpun terlebih nilai dengan sahamnya yang lebih sesuai untuk diambil untung. Baru-baru ini juga kebanyakan syarikat-syarikat kecil dan sederhana dalam sektor kesihatan, bioteknologi dan tenaga baru telah mendapat sokongan belian yang sangat kukuh dengan penglibatan syarikat-syarikat pelaburan besar seperti Vanguard, Fidelity dan BlackRock.

 

4. Pelaburan jangka panjang adalah di Asia dengan fokus kepada kesihatan, tenaga baru dan revolusi digital.

Citibank tidak menafikan bahawa China merupakan kuasa ekonomi baru yang kini sedang mencabar dominasi Amerika Syarikat dan kejayaan syarikat-syarikat China dalam mengapungkan saham-saham mereka di bursa Asia, seperti Shanghai, Hong Kong dan Singapura dengan sambutan pelabur yang luar biasa, menunjukkan ketidakbergantungan mereka kepada pasaran modal Amerika Syarikat. Dengan peningkatan taraf hidup di Asia, sektor kesihatan, revolusi digital dan tenaga baru dijangka akan terus memacu perkembagan ekonominya untuk beberapa dekad yang akan datang.

 

5. Pelaburan jangka pendek dilihat dalam sektor perindustrian, kewangan, tenaga dan hartanah

Dengan kejayaan vaksin covid-19, Citibank melihat aktiviti ekonomi akan kembali seperti biasa dengan pemulihan yang ketara dalam sektor perundustrian dan pembuatan, kewangan, tenaga dan hartanah. Sektor tenaga dan hartanah yang terjejas teruk kesan dari kekurangan perjalanan, sewaan dan pengunjung; dijangka mampu memberikan pulangan yang baik dalam masa terdekat.

 

Nota:

Sekiranya anda berminat membaca laporan penuh dalam Bahasa Inggeris bolehlah berhubung dengan pengurus akaun anda di MFM Securities ataupun emel support@mfmsecurities.com.

About Post Author

RTC Team