Breaking

Pelabur Baru, Di Mana Bermula?

Views: 91
0 0

Lama sudah tidak menulis dalam ruangan Bahasa Melayu dan diam tak diam dah nak masuk dua kali tahun baru semenjak saya berhijrah ke Amerika Syarikat. Tahun 2020 bakal berakhir dengan pelbagai kenangan pahit manis dan tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku pada tahun 2021. Manusia hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang menentukan. Dulu saya berfikir, sekiranya sudah ditentukan, maka apa perlunya kita merancang. Namun, kini saya sedar bahawa dengan perancangan, kita mempunyai hala tuju dalam hidup. Tidaklah sekadar hanyut dalam lautan kehidupan yang tidak bertepi.

Tetapi perancangan hanya datang selepas adanya matlamat. Jadi sempena dengan tahun baru ini, perlulah disemak sama ada matlamat yang hendak kita capai pada tahun lepas sudah dicapai atau belum. Tidak perlu azam baru kalau azam lama pun masih belum tercapai kan? Apa gunanya menambah nasi dan lauk sekiranya yang masih ada dalam pinggan pun masih belum mampu dihabiskan? Tidak begitu? Sekiranya anda pelabur baru, mahupun lama; apakah matlamat anda semenjak tahun lepas telah tercapai?

Apa matlamat anda dalam melabur? Adakah anda mahu mencapai bebas kewangan atau sekadar menambah pendapatan keluarga. Atau mungkin anda mahu menyimpan untuk dana pelajaran anak-anak dan bersara awal? Bebas kewangan semestinya adalah matlamat yang lebih berat daripada menambah pendapatan serta memerlukan perancangan yang lebih teliti. Tetapi semuanya bermula di dalam minda. Mungkin bagi mereka yang lebih sukakan gaya hidup sederhana, RM3,000 ke RM5,000 sebulan atau RM36,000 ke RM60,000 setahun sudah cukup. Tetapi bagi mereka yang lebih suka bergaya kaya, sudah semestinya memerlukan lebih daripada itu.

Jadi kita perlu tentukan parameter gaya hidup kita sebelum membuat perancangan untuk mencapainya. Setiap kita mempunyai latarbelakang, pengalaman, pendidikan dan keluarga yang berbeza. Jadi jangan samakan diri kita dengan orang lain atau samakan orang lain dengan diri kita. Kata orang Melayu, ukur baju dibadan sendiri. Kenali diri anda dengan lebih baik dan saya jamin anda akan lebih berbahagia walaupun apa yang melanda. Dunia ini kehidupan sementara dalam perjalanan menuju negeri kekal abadi. Maka buatlah pelaburan yang sewajarnya supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Selamat Tahun Baru 2021. Semoga anda berjaya mencapai matlamat hidup.

Semoga kita sentiasa dalam rahmatNYA.

 

Ikhlas.

Abdul Halim Jaffar.

About Post Author

Abdul H. Jaffar