Breaking

SNB Tambah Pegangan Dalam 10 Saham Pilihan

Views: 83
0 0

Antara cabaran bank-bank pusat masa kini adalah kadar faedah negatif. Sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah dunia perbankan komersil, di mana para penyimpan dikenakan upah menyimpan wang di bank. Ianya mungkin perkara biasa bagi “full reserve bank”, tetapi dengan kebanyakan bank yang beroperasi atas sistem “fractional reserve” ianya memang memeningkan.

Oleh itu tidak hairanlah jika bank-bank pusat pun turut terlibat dalam pasaran saham untuk menjana keuntungan kerana jika tiada tindakan dilakukan untuk menjaga nilai simpanan semasa, dengan kadar negatif, jumlah simpanan akan terus merosot dari masa ke semasa. Menyonsong arkib SEC Amerika Syarikat baru-baru ini, saya terlihat Swiss National Bank menambah pegangan dalam saham-saham berikut:

Jom kita lihat dua saham dengan pulangan dividen di atas 3% sama ada ianya peluang baik untuk pelaburan strategik atau taktikal.

Abbvie Inc (ABBV, NYSE)

Abbvie adalah antara syarikat “big pharma” yang mempunyai nisbah PE yang lebih murah (8.41x) berbanding Johnson&Johnson (18.66x) dan Pfizer (12.70x) walaupun betanya sedikit tinggi (0.83) berbanding Johnson&Johnson (0.56) dan Pfizer (0.58). Ex-dividend date adalah hari ini (14/10) dan tarikh rekod adalah esok (15/10), jadi masih sempat untuk menerima dividen sebanyak $1.18 sesaham yang akan di bayar pada 16/11.

Melihat kepada carta di atas, kelihatan paras 38.2% fibonacci sedang dipertahankan; sekaligus menunjukkan kejatuhan baru-baru ini hanyalah kerana pengambilan untung. Belian dilihat wajar selama mana paras $85.30 masih bertahan dengan sasaran sekurang-kurangnya 2R atau terbuka dengan “trailing stop loss” di bawah “daily swing low”.

Raytheon Technologies (RTX, NYSE)

Raytheon, selain Honeywell, Northrop, Lockheed dan General Dynamics adalah antara syarikat yang mendapat manfaat dari pengswastaan industri pertahanan AS sejak dulu lagi. Walaupun ianya agak kontroversi lantaran keuntungannya datang dari penjualan senjata dan sistem pertahanan, ianya masih menjadi antara pilihan pelabur institusi. Untuk itu saya serahkan kajian fundamental kepada anda untuk membuat pilihan.

Melihat kepada carta di atas, struktur harga berada dalam “sideways” dengan sedikit bias ke atas. “Stop loss” dilihat di bawah $56.30 dengan sasaran pertama pada $66.50 dan kedua pada $74.50. Dengan keadaan sentimen semasa, perjalanan ke atas dijangka akan mengambil lebih lama daripada biasa. Jadi bersedialah untuk sebarang kejutan mahupun kerugian.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

About Post Author

Abdul H. Jaffar