Breaking

Minggu 9: Pandangan Trader

Views: 151
0 0

Ulasan Pasaran

Pasaran terus menggila dalam membida Dolar, namun dengan kadar volume yang menurun apabila indeks Dolar mencecah hampir 100 mata menunjukkan ianya lebih sebagai tindakan dealer dalam mengawal pasaran. Dengan minit mesyuarat FOMC yang mengecewakan, pasaran kini meletakkan hampir 80% kebarangkalian untuk Feds AS menurunkan kadar faedah seawal April ini.

Di pasaran hadapan, pada Rabu New York, produk logam (+0.91%), daging (+0.26%) dan bon/kewangan (+0.02%) mendahului permintaan; sementara barangan lembut (-0.93%), indeks saham (-1.49%) dan minyak/tenaga (-1.54%) ketinggalan.

Di pasaran hadapan matawang pula, pembelian berhati-hati terus dibuat melalui Swiss (+0.10%), Pound (+0.08%) dan Euro (+0.05%); sementara yang lainnya hilang permintaan.

Indeks “CNN Fear & Greed” merudum ke paras 21 mata dan dalam trend menurun semenjak setahun yang lalu; sekaligus menunjukkan pasaran yang panik dan cuba mencari perlindungan portfolio dalam aset “safe-haven” dan alternatif.

Pasaran yang mengambil sikap berhati-hati sebelum ini, kini panik apabila Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan bahawa kesan virus “corona” mungkin adalah lebih teruk dari jangkaan, lantaran rebakan yang telah menyeluruh dan memakan mangsa dan korban yang semakin meningkat. Malah Rumah Putih memohon dana kecemasan lebih $2.5 bilion daripada kongres AS untuk menghadapi musibah ini.

Sentimen ini dijangka akan terus memacu pasaran saham sehingga suatu pemangkin lain yang akan merubah arah tuju pasaran. Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+1.61%), S&P500 (-3.54%), Dow (-5.54%), TSX (-0.13%) Eropah – SMI (-0.99%), EuroStoxx (-4.47%), DAX (-3.58%), FTSE UK (-6.63%) Asia/Australia – Nikkei (-7.45%), HangSeng (-6.31%), KLCI (-5.67%), ASX (-0.52%).

(Baca pandangan minggu ke-lapan disini)

 

Pandangan Trader

Pasaran saham kini panik dan ramai yang sedang cuba menjual, namun tidak ramai yang mahu membeli pada harga semasa dan ini mampu menyebabkan kejatuhan yang lebih teruk sekiranya tiada campur tangan dari bank-bank pusat. Situasi kerja yang semakin sibuk juga menyukarkan saya untuk cuba memberikan pandangan yang lebih awal untuk anda kerana pergerakan pasaran yang terlalu pantas.

Tetapi apa yang boleh saya kongsikan ialah pelabur institusi cuba menjual Dolar AS pada nilai yang lebih tinggi dan mencari aset yang menawarkan pulangan yang sama atau lebih; dan buat masa ini, dikalangan kumpulan G8, Dolar Kanada adalah calon terbaik untuk itu. Bank-bank utama juga dilihat terus aktif dalam memindahkan aset strategik mereka ke negara-negara membangun yang kurang berisiko seperti Brazil, India, Turki, Afrika Selatan dan Russia.

Amerika Syarikat & Kanada

Dengan pasaran yang menjangkakan penurunan kadar faedah Feds seawal April ini dalam mengawal pasaran, Dolar AS dilihat akan hilang sinarnya dalam masa terdekat. Sebarang laporan ekonomi AS yang mengecewakan akan menyebabkan Dolar hilang permintaan. Dengan keyakinan pengguna yang dilaporkan menurun, Dolar mungkin mendapat sokongan dari jangkaan KDNK yang stabil pada 2.1% dan tempahan barangan industri yang dijangka meningkat sebanyak 0.3%

Dolar Kanada dijangka terus mendapat bidaan dengan laporan KDNK bulanan yang dijangka stabil pada 0.1%, walaupun kejatuhan harga minyak dilihat akan terus menghantui nilai matawang komoditi itu.

Eropah

Euro menerima manfaat dari kelemahan Dolar, dan laporan KDNK Jerman yang menurun dari 0.1% kepada sifar gagal menghalang kenaikan matawang blok Eropah itu. Penjual dilihat akan terus membeli Euro untuk mengambil keuntungan, terutamanya pelabur Swiss.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari UK selain dari keyakinan pengguna yang masih di bawah sifar; disamping kerisauan pelabur atas kejayaan Brexit, dijangka akan terus menyebabkan Pound tertekan.

Asia/Australia

Yen mungkin mendapat sedikit bidaan dari aliran “safe-haven” dan musim percukaian Jepun pada April ini, namun dengan kenyataan BoJ yang sedia melakukan apa sahaja untuk memulihkan ekonomi Jepun selepas laporan KDNK yang mengecewakan; dilihat akan mendorong pelabur untuk terus lebih banyak menjual Yen.

Ketiadaan sebarang laporan berimpak tinggi dari Australia dan New Zealand minggu ini dan kerisauan atas kesan lanjut virus “corona” ke atas ekonomi dunia; dijangka akan menyebabkan matawang komoditi ini terumbang-ambing melainkan terdapat sebarang pemangkin yang mengejutkan.

Saham

Pasaran saham panik dan hampir kesemua indeks utama dunia merudum kecuali indeks Nasdaq yang masih positif. Tindakan pelabur yang membida aset teknologi dan pharmaseutikal menyebabkan ianya masih terapung. Pelabur dilihat akan terus mencari aset beta negatif dalam menahan kejatuhan pasaran saham yang semakin hampir.

Antara 10 saham murah (di bawah $50) yang menarik minat pelabur institusi kini adalah:

iQiyi (IQ), Nordstro (JWN), Moderna (MRNA), Co-Diagnostics (CODX), Wheaton (WPM), Occidental Petroleum (OXY), Hydro One (H), Northland Power (NPI), Capital Power (CPX) dan Vaneck Vectors (GDX).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.