Ulasan Pasaran

Selain dari isu virus “corona” yang seakan semakin basi, pasaran memberikan perhatian kepada mesyuarat kadar faedah RBNZ, laporan ekonomi UK dan Jerman, selain dari kenyataan Pengerusi Feds kepada kongres Amerika Syarikat dan juga laporan ekonomi AS pada minggu lepas. Indeks Dolar AS terus memacu naik memecah paras psikologi 99 mata atas aliran “safe-haven” dengan sokongan pelabur Jepun dan Swiss.

Di pasaran hadapan, pada pagi Rabu New York, produk logam (+1.68%), barangan lembut (+0.61%) dan tenaga/minyak (+0.55%) mendahului permintaan; sementara matawang (-0.15%), produk bon/kewangan (-0.16%) dan bijirin (-0.57%) hilang permintaan.

Di pasaran hadapan matawang pula, seperti yang dijangkakan, pembelian diketuai oleh Dolar Kanada (+0.21%) dan Dolar AS (+0.17%); sementara yang lainnya ketinggalan.

Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran memacu naik kepada 57 mata berbanding 51 mata pada sebelumnya. Namun, ia berada dalam trend menurun berbanding setahun (68 mata), sebulan (89 mata) dan seminggu (60 mata) yang lalu.

Pasaran dijangka akan terus mengambil sikap berhati-hati, terutamanya selepas kenyataan Pengerusi Feds AS, Jerome Powell, kepada kongress Amerika Syarikat sebelum ini yang seakan mengisyaratkan penurunan kadar faedah. Pasaran kini meletakkan sekitar 60% kebarangkalian untuk Feds menurunkan kadar faedah seawal Julai depan, lima bulan sebelum pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.

Sentimen ini dijangka akan terus memacu pasaran saham sehingga suatu pemangkin lain yang akan merubah arah tuju pasaran. Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+11.10%), S&P500 (+4.74%), Dow (+2.67%), TSX (+4.81%) Eropah – SMI (+5.95%), EuroStoxx (+3.06%), DAX (+3.94%), FTSE UK (-1.26%) Asia/Australia – Nikkei (-1.08%), HangSeng (-1.89%), KLCI (-3.44%), ASX (+6.89%).

(Baca pandangan minggu ke-tujuh disini)

 

Pandangan Trader

Indeks Dolar AS (DXY) akhirnya memecah rintangan 99.50 mata pada pagi Rabu New York, selari dengan minit mesyuarat FOMC yang akan disiarkan pada hari ini. Walaupun nilai USD memacu naik dengan volume sekitar $10 bilion, ianya masih rendah berbanding $35 bilion pada Mei tahun lepas. Dengan kata lain, kenaikan nilai ini hanyalah satu manipulasi dealer dalam mengawal pasaran.

Malah Bank Nova Scotia, dalam laporan terbarunya kepada pelanggan, menyarankan belian CAD sebagai langkah mengawal risiko dan imbangan portfolio untuk pemegang Dolar AS lantaran kadar faedah yang ditawarkan oleh Bank Pusat Kanada adalah sama dengan Feds AS. Namun begitu, USD dijangka masih terus dalam bidaan selagi isu keselamatan dan kesihatan berkaitan virus “corona” masih menghantui pasaran.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS terus merajai pasaran dengan bidaan “safe-haven” disamping Dolar Kanada yang menawarkan pulangan yang sama, walaupun ia sedikit tertekan dengan kejatuhan harga minyak. Indeks Dolar (DXY) memacu naik di atas paras 99.50 mata apabila indeks harga pengeluar (0.5% berbanding 0.1%) dan permit bangunan baru (1.55 juta berbanding 1.45 juta) dilaporkan lebih baik dari jangkaan.

Kini arah seterusnya bakal ditentukan oleh minit mesyuarat Feds, indeks perkilangan Philadelphia yang dijangka melemah dari 17 kepada 12 mata dan jualan rumah yang dijangka menurun dari 5.54 juta kepada 5.43 juta.

Dolar Kanada dijangka terus mendapat bidaan dengan laporan inflasi tahunan yang meningkat dari 2.2% kepada 2.4% dan jualan runcit teras yang dijangka meningkat sebanyak 0.2%; disamping harga minyak yang dijangka stabil di atas paras $50 setong.

Eropah

Euro terus menerima nasib malang apabila laporan sentimen ekonomi Jerman mengecewakan pasaran dengan 8.7 mata berbanding 21.5 mata pada sebelumnya. Dengan indeks perkilangan Jerman yang juga dijangka melemah dari 45.3 kepada 44.8 mata, Euro masih berpotensi untuk meneruskan kejatuhannya.

Pound mendapat sokongan belian minggu lepas apabila risiko penurunan kadar faedah BoE dikurangkan dengan perubahan Chanselor kewangan yang lebih sealiran dengan Perdana Menteri Britain dalam menyelesaikan isu Brexit. Namun, spekulator masih ragu-ragu yang langkah ini akan terus menyokong Pound. Laporan inflasi tahunan UK yang meningkat dari 1.6% kepada 1.8% serta angka pengangguran yang berkurangan lebih 17 ribu penganggur, menyebabkan kejatuhan matawang Queen itu terhad.

Asia/Australia

Yen dijual pelabur apabila Jepun melaporkan perkembangan ekonomi yang menguncup 1.6% di bawah sifar, jauh lebih teruk dari -0.9% jangkaan pasaran. Yen mungkin mendapat sedikit bidaan dari aliran “safe-haven” dan musim percukaian Jepun pada April ini, namun dengan prestasi ekonomi yang mengecewakan pelabur, ia dijangka terus dijual dalam masa terdekat.

Aussie mula cuba menstabil apabila “anti-dote” virus “corona” dikatakan telah ditemui dan Bank Pusat Australia mengekalkan kadar faedah pada minggu lepas. Dengan angka pekerjaan Australia yang dijangka menurun dari 28,900 kepada 10 ribu sahaja, matawang komoditi itu dijangka kembali tertekan.

Tiada laporan berimpak tinggi dari New Zealand minggu ini.

Saham

Dengan indeks-indeks utama pasaran saham dunia – terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah – yang kini berada di paras tertinggi dalam sejarah, pelabur dilihat lebih banyak mengambil untung dan membuat imbangan portfolio berbanding pencarian saham-saham baru. Pelabur juga dilihat lebih memilih strategi jangka pendek daripada jangka panjang.

Antara 10 saham murah (di bawah $50) yang menarik minat pelabur institusi kini adalah:

Virgin Galactic (SPCE), Twitter (TWTR), Lightspeed (LSPD), Bank of America (BAC), Ally Financial (ALLY), JD Com (JD), Wells Fargo (WFC), Pfizer (PFE), Ballard Power (BLDP) dan Coles Group (COL).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.