Ulasan Mingguan

Tidak banyak yang dapat diperkatakan pada minggu lepas selain dari isu virus “corona”, mesyuarat kadar faedah RBA, laporan ekonomi Eropah dan UK serta laporan NFP Amerika Syarikat; yang semuanya seakan tidak memberikan kata putus pasaran. Euro dan Pound terus merudum walaupun laporan ekonominya memberansangkan, kerana pasaran terus membida Dolar dalam panik terhadap rebakan virus “corona”.

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh IMF, WHO, Bank Pusat negara maju selain pihak berkuasa China yang cuba menenangkan pasaran dan orang awam. Di pasaran hadapan, langkah tersebut menyaksikan permintaan meningkat untuk produk tenaga/minyak (+1.97%), barangan lembut (+0.69%) dan indeks saham (+0.50%); sementara logam (-0.15%), produk bon/kewangan (-0.22%) dan daging (-0.77%) ketinggalan, apabila pasaran menutup Rabu semalam.

Di pasaran hadapan matawang pula, pasaran terus optimis dengan pembelian diketuai oleh Aussie (+0.39%), Peso Mexico (+0.19%) dan Dolar Kanada (+0.18%); sementara Euro (-0.17%) dan matawang ‘safe-haven’ Swiss (-0.05%) serta Yen (-0.23%) hilang permintaan.

Semalam, Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran menutup dengan 56 mata, lebih baik daripada 55 mata pada seminggu lalu. Namun, ia masih rendah dari 91 mata pada sebulan yang lalu dan 62 mata pada setahun yang lalu.

Pasaran dijangka akan terus mengambil sikap berhati-hati, terutamanya selepas kenyataan Pengerusi Feds AS, Jerome Powell, kepada kongress Amerika Syarikat yang seakan mengisyaratkan penurunan kadar faedah. Pasaran meletakkan 63% kebarangkalian untuk Feds menurunkan kadar faedah pada September depan, dua bulan sebelum pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.

Pasaran dijangka terus berada dalam julat dagangan kecil sehingga terdapat laporan dan maklumat baru yang lebih menjelaskan arah pasaran selanjutnya. Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+10.08%), S&P500 (+4.60%), Dow (+3.55%), TSX (+4.51%) Eropah – SMI (+4.45%), EuroStoxx (+2.92%), DAX (+3.78%), FTSE UK (-0.11%) Asia/Australia – Nikkei (+0.86%), HangSeng (-1.30%), KLCI (-2.88%), ASX (+6.05%).

(Baca pandangan minggu ke-enam disini)

 

Pandangan Mingguan

Indeks pengangkutan AS terus memacu naik menguji paras pembukaan bulan lepas dan menutup di atas 11,000 mata semalam. Walaupun ini seakan memberikan isyarat bahawa pasaran terus optimis, ianya masih perlu menutup di atas paras tertinggi tahunan, sekitar 11,360 mata dengan kadar volume menaik. Buat masa ini, itu masih belum kelihatan dan pasaran dijangka akan lebih terarah kepada berhati-hati.

Dengan pasaran Asia yang telah pun memasuki hari Khamis, tidak banyak laporan ekonomi yang tinggal selain laporan inflasiĀ  dan jualan runcit AS serta laporan KDNK Jerman. Sehubungan itu, EUR/USD dijangka akan mendapat perhatian utama pasaran.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS terus merajai pasaran dengan bidaan “safe-haven” disamping Dolar Kanada yang menawarkan pulangan yang sama, walaupun ia sedikit tertekan dengan kejatuhan harga minyak. Nasib indeks Dolar (DXY) yang kini berada sekitar paras psikologi 99 mata bakal ditentukan dengan laporan inflasi tahunan yang dijangka naik dari 2.3% kepada 2.4% dan jualan runcit bulanan yang dijangka stabil pada 0.3%.

Tiada laporan berimpak tinggi dari Kanada untuk minggu ini.

Eropah

Euro dilihat bakal mencapai paras stabil dengan laporan KDNK Jerman yang dijangka stabil pada 0.1%, namun dengan bacaan tahunan yang dijangka merosot dari 0.5% kepada 0.4% dan laporan KDNK seluruh Eropah yang juga dijangka merosot, Euro mungkin masih belum bersedia untuk memacu naik.

Pound mendapat sokongan apabila laporan KDNK menunjukkan ekonomi UK berkembang lebih baik dari jangkaan. KDNK tahunan meningkat dari 0.8% kepada 1.1% dan KDNK bulanan pula dilaporkan berkembang dari 0.2% kepada 0.3%.

Asia/Australia

Pasaran Asia kembali optimis, apabila Bank Pusat New Zealand mengekalkan kadar faedah pada Selasa lalu, sekaligus menyebabkan Kiwi melonjak tinggi. Sebarang perubahan sentimen yang lebih terarah kepada optimis akan menyebabkan matawang komoditi AUD dan NZD kembali dibida.

Tiada laporan berimpak tinggi dari Jepun minggu ini.

Saham

Dengan indeks-indeks utama pasaran saham dunia – terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah – yang kini berada di paras tertinggi dalam sejarah, pelabur dilihat lebih banyak mengambil untung dan membuat imbangan portfolio berbanding pencarian saham-saham baru. Pelabur juga dilihat lebih memilih strategi jangka pendek daripada jangka panjang.

Antara 10 saham murah (di bawah $50) yang menarik minat pelabur institusi kini adalah:

Lyft (LYFT), Cisco (CSCO), AT&T (T), BedBath&Beyond (BBBY), Teva Pharma (TEVA), Manulife (MFC), Suncor Energy (SU), Centuria Office (COF), Greatland Gold (GGP) dan AMS AG (AMS).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.