Ulasan Mingguan

Isu virus “corona” menjadi topik utama minggu lepas, namun aset “safe-haven” seperti emas, masih tidak membuat lonjakan yang lebih jauh; apabila laporan rasmi dari China mengatakan bahawa virus “corona” telah pun mencapai tahap rebakan maksima sehingga 10 hari dan akan mereda dalam masa terdekat. Agensi kawalan pelaburan China juga mengeluarkan arahan supaya pengurus dana tidak mencairkan pegangan saham mereka, melainkan terdapat permintaan pelanggan.

Langkah kawalan pasaran itu nampaknya menunjukkan sedikit perkembangan baik, apabila sehingga awal Rabu, kesemua komponen pasaran hadapan (+0.47%) menutup positif dengan permintaan diketuai oleh produk tenaga/minyak (+1.32%), logam (+1.15%), indeks saham (+0.78%) dan hanya produk bon/kewangan (-0.22%) hilang permintaan.

Di pasaran hadapan matawang pula, pasaran terus optimis dengan pembelian diketuai oleh Peso Mexico (+0.47%), Aussie (+0.42%) dan Dolar AS (+0.12%); sementara Euro (-0.19%) dan matawang ‘safe-haven’ Yen (-0.16%) serta Swiss (-0.28%) ketinggalan.

Semalam, Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran menutup dengan 49 mata, lebih baik dari Isnin pada 46 mata. Namun, ia masih rendah dari 53 mata pada seminggu yang lalu dan 93 mata pada sebulan yang lalu.

Pasaran dijangka akan terus mengambil sikap berhati-hati, terutamanya selepas bank utama Amerika Syarikat, JP Morgan melaporkan bahawa tiga penurunan kadar faedah Feds sebelum ini; walaupun membantu perkembangan ekonomi, ianya gagal mendorong perniagaan untuk membuat lebih banyak pelaburan dalam aset tetap.

Indeks utama pasaran Amerika Utara dan Eropah menunjukkan pemulihan, namun pasaran Asia terjejas teruk kesan dari isu virus “corona”. Indeks pengangkutan menunjukkan pasaran saham yang masih tertekan; sekaligus memberikan isyarat bahawa pasaran masih tidak yakin yang sentimen optimis ini akan berkekalan untuk jangka panjang.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+6.88%), S&P500 (+2.07%), Dow (+0.94%), TSX (+2.63%) Eropah – SMI (+3.50%), EuroStoxx (+0.86%), DAX (+1.69%), FTSE UK (-0.71%) Asia/Australia – Nikkei (-1.42%), HangSeng (-4.98%), KLCI (-3.27%), ASX (+4.37%).

(Baca pandangan minggu ke-lima disini)

 

Pandangan Mingguan

Asia membuka sedikit tinggi dengan sentimen pasaran yang lebih optimis, selepas berita mengatakan bahawa “anti-dote” untuk virus “corona” telah pun ditemui. Vaksin yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat dijangka akan dapat mengawal penyakit tersebut dari merebak lebih jauh, selepas pesakit-pesakit sedia ada dapat diubati. Langkah Bank Pusat Australia (RBA) mengekalkan kadar faedah pada hari Isnin, juga mendorong pelabur mengambil sikap optimis dan membida aset berisiko.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS yang menjunam selepas mesyuarat FOMC minggu lepas yang negatif, kembali bertenaga selepas aliran “safe-haven” menyebabkan matawang simpanan dunia itu terus dibida. Laporan terbaru sektor pekerjaan swasta dari ADP yang juga menunjukkan perkembangan baik, turut membantu mengapungkan Dolar yang kini kembali berada di atas paras 98.20 mata.

Dengan laporan sektor pekerjaan bukan perladangan (NFP) Jumaat ini yang dijangka menambah lebih banyak pekerjaan (160 ribu berbanding 145 ribu sebelumnya) dan kadar penganguran yang dijangka stabil pada 3.5%, Dolar dilihat akan terus kukuh.

Jiran AS, Kanada pula bakal melaporkan tambahan pekerjaan yang menurun dari 27,300 pekerjaan kepada 15 ribu sahaja dan ini dilihat akan menekan CAD. Namun, dengan indeks perniagaan Ivey yang dijangka meningkat dari 51.9 kepada 53.3 mata, dan juga harga minyak yang kembali stabil, ianya boleh membantu mengapungkan matawang komoditi itu.

Eropah

Euro dan Pound cuba membuat pusingan “U” apabila laporan ekonomi Jerman dan UK menunjukkan perkembangan yang memberansangkan; namun kembali tertekan selepas Dolar AS dibida apabila sektor pekerjaan dan laporan industri Amerika Syarikat menunjukkan perkembangan yang lebih baik.

Dengan laporan ekonomi Eropah dan UK yang telah pun berlalu, Euro dan Pound dilihat hanya mampu memacu semula dengan kelemahan Dolar.

Asia/Australia

Walaupun pasaran Asia kembali optimis, ukuran tahunan (YTD) menunjukkan kejatuhan teruk dengan indeks HangSeng merudum hampir 5% diikuti oleh KLCI lebih 3% dan Nikkei lebih 1%. Hanya ASX Australia sahaja yang masih kekal positif di atas 4%. Yen dijangka terus mendapat permintaan dari pelabur jangka panjang.

Langkah Bank Pusat Australia mengekalkan kadar faedah dan memberikan komen optimis, membantu mengapungkan Aussie. Namun, dengan laporan jualan runcit Australia yang dijangka menurun dari 0.9% kepada 0.2% di bawah sifar; ianya dilihat akan kembali menekan matawang komoditi itu.

Tiada laporan berimpak tinggi dari Jepun minggu ini.

Saham

Dengan indeks-indeks utama pasaran saham dunia – terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah – yang kini berada di paras tertinggi dalam sejarah, pelabur dilihat lebih banyak mengambil untung dan membuat imbangan portfolio berbanding pencarian saham-saham baru. Pelabur juga dilihat lebih memilih strategi jangka pendek daripada jangka panjang.

Antara 10 saham murah (di bawah $50) yang menarik minat pelabur institusi kini adalah:

SNAP (SNAP), AMD (AMD), Ford (F), Luckin Coffee (LK), Uber (UBER), Puma Biotech (PBYI), Omega Health (OHI), Navios Maritime (NMM), BHP Group (BHP) dan Fortescue Metals (FMG).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.