Keputusan laporan sektor pekerjaan bukan perladangan (NFP) Amerika Syarikat untuk bulan November sedikit mengejutkan pasaran apabila 266 ribu pekerjaan ditambah berbanding hanya 180 ribu jangkaan. Tambah mengujakan lagi apabila kadar pengangguran juga dilaporkan kembali menurun daripada 3.6% kepada 3.5%. Namun gaji sejam sedikit mengecewakan, kerana turun dari 0.4% kepada 0.2% dan lebih rendah dari jangkaan sebanyak 0.3%

Laporan ini mendorong pelabur membida pasaran saham dan keluar dari pasaran bon dan logam berharga. Emas kembali merudum untuk berada di bawah pivot bulanan, sekitar $1,475.21, namun masih stabil di atas paras $1,450.00

Dalam pada itu, USD/CHF kelihatan memacu semula untuk menutup di atas paras psikologi 0.9900, lantaran sentimen pasaran yang kembali optimis.

Persoalannya dengan minggu ke-50 yang akan menyaksikan peristiwa penting pilihanraya Britain, apakah pasaran akan terus bersikap optimis?

Rancangan Pelaburan

Dengan tahun 2019 yang akan berakhir dalam beberapa minggu lagi, saya tidak bercadang mengambil sebarang posisi besar melainkan sekadar posisi untuk bermain-main sahaja. Saya melihat ketidaktentuan politik Britain boleh memacu semula harga emas untuk kembali menguji pivot bulanan. Belian dengan “stop loss” di bawah $1,450 dan sasaran terbuka adalah wajar pada hemat saya.

Sekiranya anda mengambil posisi belian USD/CHF sebelum NFP, bolehlah bersiap sedia untuk mengambil sebahagian untung dan alihkan “stop loss” kepada “breakeven” apabila harga memasuki kawasan 0.9930/50.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.