Ulasan Mingguan

Pasaran kini memasuki mood percutian, pasca sambutan hari Kesyukuran Amerika Syarikat dan Kanada pada minggu lepas. Dengan hanya tiga minggu sahaja lagi sebelum cuti Krismas, kebanyakan pengurus dana akan terus mencairkan pegangan mereka untuk mengambil untung dan menutup buku tahunan. Pasaran akan terus dipenuhi dengan aktiviti mengambil untung dan mengimbangi risiko portfolio sehingga akhir tahun.

Keseluruhan pasaran hadapan (-0.32%) menutup lemah pada Jumaat lepas, dengan kejatuhan diketuai oleh tenaga (-4.48%) dan indeks saham (-0.52%); sementara permintaan diketuai oleh bijirin (+0.98), daging (+0.63%) dan logam (+0.15%).

Di pasaran hadapan matawang pula, sentimen berhati-hati masih jelas apabila Yen (+0.14%) mengetuai pacuan, disamping Pound (+0.12%) dan Euro (+0.09%); sementara Peso Mexico (-0.08%), Dolar AS (-0.09%) dan Dolar Australia (-0.21%) hilang permintaan.

Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran masih berada dalam trend menaik sejak 12 bulan yang lalu dan mencapai puncak pada minggu ke-46 dengan 87 mata. Sentimen kini perlu stabil di atas 70 mata untuk kekal “bullish”. Ramai penganalisa melihat perkembangan terbaru rundingan dagang AS-China dan pilihanraya Britain akan menjadi kunci kepada trend dalam dagangan dan pelaburan.

Dua perkara yang menjadi perhatian utama pasaran kini ialah rundingan dagang AS-China dan pilihanraya Britain yang bakal berlansung pada 12 Disember. Laporan komitmen bank sehingga 5 November menunjukkan “big player” sedang “net short” Pound sebanyak 8,573 kontrak dan “net long” Aussie sebanyak 15,946 kontrak. Kebanyakan institusi kini sedang menantikan laporan terbaru dari CFTC sebelum membuat keputusan lanjut.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+31.73%), S&P500 (+24.87%), Dow (+20.03%), TSX (+18.71%) Eropah – SMI (+23.34%), EuroStoxx (+21.79%), DAX (+23.77%), FTSE UK (+8.73%) Asia/Australia – Nikkei (+17.56%), HangSeng (+2.32%), KLCI (-7.10%), ASX (+21.53%).

(Baca pandangan minggu ke-48 disini)

 

Pandangan Mingguan

Tema pelaburan dan dagangan pada minggu ke-47 dijangka diteruskan lagi pada minggu ini, minggu ke-49; dimana aktiviti dagangan dijangka akan banyak dipenuhi dengan “hedging” dan “rebalancing” untuk memastikan riisko portfolio terkawal, terutamanya dengan pasaran saham AS yang kini berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

Oleh itu anda akan mendapati adakalanya laporan ekonomi tidak sejajar dengan pergerakan pasaran kerana pelabur dan pedagang lebih menitikberatkan tahap pendedahan portfolio dan had risiko daripada cuba membuat keuntungan dan membaca pergerakan pasaran.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS berjaya memacu pada minggu lepas untuk menguji paras 98.50 mata dan dilihat akan cuba menguji semula, sekiranya sokongan pada paras 97.50 berjaya dipertahankan. Spekulator kini dilihat menjual Dolar AS dan pengurus dana lebih berminat untuk membeli. Dolar AS dijangka mendapat sokongan belian dengan jangkaan angka pekerjaan sektor bukan perladangan (NFP) yang meningkat dari 128 ribu kepada 180 ribu dan kadar pengangguran yang stabil pada 3.6%

Matawang komoditi, CAD dijangka terus tertekan dengan harga minyak mentah yang masih terumbang-ambing dan sentimen perang dagang AS-China yang masih dalam teka-teki. Namun, tindakan Bank Pusat Kanada yang dijangka pengekalkan kadar faedah pada minggu ini boleh memacu permintaan untuk CAD.

Eropah

Euro mungkin melonjak apabila indeks perkilangan Jerman dilaporkan lebih baik dari jangkaan (48.9 berbanding 48.3 mata); namun ketiadaan pemangkin lanjut selain ucapan Presiden ECB dilihat akan mengekang sebarang kenaikan melepasi paras 1.1050/80.

Pound terus dikuasai oleh sentimen pilihanraya UK yang bakal diadakan pada 12 Disember. Dalam satu perkembangan terkini, jurang sokongan untuk Parti Konservatif dan Parti Buruh yang semakin mengecil dilihat mendorong pelabur untuk mencairkan pegangan Pound dalam menghadapi sebarang risiko geo-politik di Britain. Pound mungkin mendapat sokongan dengan indeks perkhidmatan UK yang dijangka stabil pada 48.6 mata dan indeks pembinaan yang meningkat dari 44.2 kepada 44.5 mata.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Switzerland dan sentimen pasaran yang semakin pulih dijangka akan terus mengurangkan “net-long” Swiss di pasaran hadapan.

Asia/Australia

Minggu yang penting untuk Aussie yang dijangka akan mendapat sokongan dari jangkaan Bank Pusat Australia yang akan mengekalkan kadar faedah dan laporan KDNK suku ketiga yang dijangka stabil pada 0.5% serta laporan jualan runcit yang meningkat dari 0.2% kepada 0.3%.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari New Zealand dan Jepun dijangka akan menyebabkan Kiwi dan Yen dijual, dan lebih banyak dipengaruhi oleh sentimen semasa pasaran. Sebarang perubahan sentimen risiko ke arah “risk-off” akan mendorong penjualan NZD dan pembelian JPY.

Saham

Dengan kebanyakan syarikat yang telah melaporkan pendapatan suku ketiga mereka, pelabur dilihat akan kembali mencari peluang pelaburan baru disamping mengawal risiko portfolio pelaburan. Sentimen yang semakin pulih dijangka mendorong pelabur jangka pendek membida, walaupun pelabur jangka panjang dilihat lebih berminat untuk mencairkan pegangan belian mereka.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka masih berminat dengan saham-saham seperti Bank of Montreal (BMO), SalesForce (CRM), Toronto Dominion Bank (TD), Canadian Imperial Bank (CM), Dollar General (DG), Workday (WDAY), Brown Forman (BF), Kroger (KR), RBC (RY), Synopsys (SNPS), Tiffan&Co (TIF), Cooper (COO), Dollarama (DOL), Campbell Soup (CPB), Ultra Beauty (ULTA) dan H&R Block (HRB).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham-saham seperti DS Smith (SMDS), RIT Capital (RCP), Victrex (VCTX), CarlZeiss (AFX), Dr Hoenle (HNL), Total (TOTF), BIC (BICP), EutelSat (ETL), Metropole TV (MMTP), Aareal Bank (ARL), Takkt AG (TTKG), Tui AG (TUI), Viviendas (CEV), Alba SA (ALB), Iberpapel (IBG), Basler KantonalBank (BSKP), Aevis Victoria (AEVS), First Capital (FICP), Ventus (VEN), dan Mucklow (MKLW).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberikan perhatian kepada saham-saham seperti Metcash (MTS), Desane Group (DGH), Seah Holdings (058650), Hu Steel (005010), Hanwha Life (088350), Sekisui House (1928), Shinkin Bank (8421), Daiya Tsusho (7462), Alinco (5933), Laisun Garment (0191), Argha Karya (AKPI), Global Mediacom (BMTR), Bekasi Fajar (BEST), Lautan Luas (LTLS), DBE (7179), Sanichi (0133), Binapuri (5932), DGB (0152), SLVest (0215), dan YongTai (7066).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.