Sedikit kecoh hari ini apabila ada order besar yang perlu dicairkan. Lebih 1,800 blok order diterima dengan nilai lebih $150 juta di pasaran hadapan bagi mencairkan pegangan Pound dan menukarkanya kepada Euro. Sudah tentu dengan jumlah yang sebegitu besar, sesiapa pun mahukan nilai tukaran yang menarik. Namun adakalanya anda terpaksa berurusan dengan beberapa institusi untuk menyelesaikan dagangan tersebut, terutamanya jika anda hanyalah sebuah institusi yang kecil.

Apapun, saya ingin kongsikan sedikit maklumat tentang kerisauan pasaran dengan situasi politik di UK. Terdapat desas-desus dalam eikon yang mengatakan keputusan pilihanraya UK Disember ini mungkin tidak memihak kepada Parti Konservatif seperti yang digembar-gemburkan oleh media. Mereka ini berkata “lihat kepada apa yang berlaku di Amerika Syarikat, Malaysia dan beberapa lagi negara dimana parti pemerintah berubah! Mungkin UK juga akan menerima nasib yang sama!”

Saya tidak banyak hendak komen, tetapi itu satu kemungkinan yang menyebabkan beberapa “big player” mencairkan pegangan Pound mereka; selain dari mengambil untung tahunan.

Rancangan Dagangan

Sekiranya anda mempunyai pegangan ekuiti dalam pasaran UK, mungkin ini masa utk berfikir tentang mencairkannya. Lagipun harga saham UK ketika ini agak terlebih nilai pada hemat saya. Peluang lain untuk terlibat dalam dagangan ini ialah belian EUR/GBP ataupun jualan GBP kepada USD, AUD, NZD dan CAD yang menawarkan pulangan positif; kerana belian EUR/GBP mempunyai pulangan negatif.

Buat masa ini saya masih memantau keadaan pasaran sebelum melibatkan diri dengan sebarang dagangan besar kerana cuti Hari Kesyukuran akan datang minggu depan dan kemudian pasaran akan bersedia untuk cuti Krismas dan Tahun Baru.

Kepada yang mengikuti dagangan Citibank, belian GBP/USD telah pun menutup dan “buy limit” AUD/USD telah pun aktif. Sekiranya mahu bolehlah menambah jualan (“scale-in”) USD/JPY pada nilai sekitar 108.50/60 dengan SL baru pada 109.10 dan TP yang sama.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.