Antara masa yang sering menjadi perhatian pelabur dan pedagang ialah “London Close.” Sebagai salah sebuah kota kewangan utama dunia, selain New York dan Tokyo, masa pasaran London menutup adalah antara masa penting untuk mendapatkan sentimen pasaran. Segala maklumat terkandung dalam “order” dan sekiranya London menutup dengan lebihan order aset “safe-haven”; itu bermakna pasaran berada dalam “risk-off”.

Itulah yang berlaku hari ini selepas perjanjian AS-China diberitakan lewat hingga Disember depan. Merujuk kepada rancangan pelaburan UBS pada bulan Mei lalu, bank tersebut juga telah menukar strategi. Berikut carta dan ringkasannya:

Saham

UBS mengekalkan pegangan saham dalam pasaran Jepun dan mencari syarikat berkualiti di pasaran Amerika Syarikat. Ia juga mengurangkan pegangan saham dalam pasaran Eropah dan kini tidak menyukai pasaran negara membangun, lantaran krisis perang dagang AS-China yang menyebabkan risiko geopolitik yang tidak menentu.

Bon

Tidak banyak perubahan dalam bon; dimana UBS terus memilih bon jangka pendek USD kerajaan negara membangun, disamping bon korporat Eropah yang berkualiti dan juga bon-bon yang bersandar pada projek-projek pemulihan alam sekitar (green bond). Ia juga terus mengurangkan pegangan dalam bon negara maju dan bon korporat yang bermasalah.

Matawang

UBS kini menyukai Dolar AS, matawang negara membangun seperti Rupee India dan Rupiah Indonesia. Ia juga menambah pegangan dalam Yen dan Pound untuk jangka panjang. Seperti biasa UBS terus menjual Swiss dan tidak menyukai Aussie serta Dolar Taiwan, lantaran krisis perang dagang AS-China. Dengan kata lain, antara strategi mudah UBS ialah membeli USD/CHF, GBP/CHF dan menjual AUD/USD.

Horizon Pelaburan

Demikianlah pandangan UBS buat bulan ini. Untuk 1-4 tahun yang akan datang, UBS melihat pasaran saham UK kini stabil selepas pilihanraya umum dengan isu Brexit bakal diselesaikan. Ia juga masih melihat Yen dan Pound berada di bawah nilai sebenar dan lebih berminat untuk membeli GBP dan JPY untuk jangka masa panjang.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.