Ulasan Mingguan

Pasaran membuat kejutan pada minggu ke-41 apabila isu Brexit dikatakan bakal selesai dalam masa terdekat dan rundingan dagang AS-China menunjukkan kemajuan. UK dan Ireland dikatakan bakal mencapai kata sepakat dalam perihal sempadan dan akan dibincangkan dalam persidangan Kesatuan Eropah pada minggu ini. Amerika Syarikat pula menangguhkan cukai import ke atas China dan China pula dikatakan bersetuju membeli produk pertanian AS.

Namun begitu, ramai penganalisis melihat persetujuan dan kata sepakat ini masih tiada rancangan dan perincian jelas yang membolehkan perjanjian dimeterai dan ianya hanyalah sekadar kata-kata sahaja. Dalam pada itu, di Timur Tengah isu geopolitik semakin hangat apabila tentera AS berundur dari Syria dan membiarkan Turki mengambil tindakan bersendirian untuk menewaskan pemberontak kurdis.

Keseluruhan pasaran hadapan (+0.71%) menutup positif pada Jumaat lepas, dengan hanya logam (-0.36%) dan bon/kewangan (-0.60%) hilang sokongan belian. Lebihan permintaan direkodkan oleh bijirin (+1.51%), tenaga/minyak (+1.46%), barangan lembut (+1.38%) dan indeks saham (+1.28%).

Di pasaran hadapan matawang pula, sentimen optimis direkodkan apabila matawang “safe-haven” Swiss (-0.08%), Dolar AS (-0.41%) dan Yen (-0.56%) hilang sokongan belian; sementara Pound (+1.72%), Peso Mexico (+0.87%), dan Dolar Kanada (+0.85%) memacu permintaan.

Indeks “CNN Fear & Greed” mengesahkan pemulihan sentimen ini apabila ia stabil di atas 28 mata dan menutup pada 42 mata berbanding 32 mata pada seminggu yang lalu. Ini jelas lebih baik dari 5 mata pada setahun yang lalu; walaupun masih rendah dari 57 mata pada sebulan yang lalu. Sentimen kini perlu stabil di atas 32 mata untuk terus kekal optimis.

Pasaran dikejutkan dengan berita baik tentang Brexit dan rundingan dagang AS-China dan beberapa laporan ekonomi Amerika Syarikat yang mengesahkan kuasa ekonomi dunia itu semakin lemah. Sentimen ini melemahkan Dolar dan pasaran kini meletakkan lebih 74% kebarangkalian untuk Feds AS menurunkan kadar faedah sekali lagi pada bulan ini.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+23.84%), S&P500 (+18.35%), Dow (+14.86%), TSX (+14.61%) Eropah – SMI (+18.17%), EuroStoxx (+18.27%), DAX (+17.98%), FTSE UK (+7.11%) Asia/Australia – Nikkei (+8.91%), HangSeng (+2.62%), KLCI (-7.28%), ASX (+17.64%).

(Baca pandangan minggu ke-41 disini)

 

Pandangan Mingguan

Walaupun minggu ke-41 seakan menceriakan, ramai penganalisis melihat pemulihan sentimen ini bersifat sementara lantaran permintaan untuk matawang “safe-haven” CHF di pasaran hadapan yang masih “net-long” dan “net-short” JPY yang semakin berkurangan. Namun begitu GBP, AUD, NZD masih dalam sentimen belian berbanding EUR, JPY, CAD dan USD.

Perhatian yang lebih dijangka akan diberikan kepada laporan ekonomi Eropah dan UK pada minggu ini, disamping persidangan Kesatuan Eropah, yang akan menentukan sama ada EUR dan GBP akan terus mampu memacu permintaan untuk minggu-minggu seterusnya.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS dijangka terus tertekan dengan laporan ekonomi yang kurang memberansangkan apabila jualan runcit dijangka menurun dari 0.4% kepada 0.3% walaupun jualan teras dijangka meningkat dari sifar kepada 0.2%. Indeks perkilangan Philadelphia dijangka menurun dari 12 kepada 8 mata dan kelulusan permit bangunan dijangka menurun dari 1.425 juta kepada 1.35 juta untuk bulan September. Namun begitu, sekiranya sentimen bertukar hambar, Dolar mampu membuat pacuan mengejut.

Dolar Kanada dijangka terus mendapat permintaan selepas laporan sektor pekerjaan yang memberansangkan pada minggu lepas dan inflasi tahunan yang dijangka meningkat dari 1.9% kepada 2.1%. Lonjakan harga minyak juga dilihat membantu mengapungkan nilai CAD.

Eropah

Minggu yang penting buat Euro dan Pound yang akan menyaksikan sama ada ia mampu meneruskan pacuan seterusnya. Euro dijangka kembali tertekan dengan laporan sentimen ekonomi Jerman yang dijangka bertambah buruk dari -22.5 mata kepada -27 mata. Inflasi tahunan zon ekonomi Eropah juga dijangka kembali di bawah 1% kepada 0.9%.

Pound dijangka stabil dan mengukuh dengan indeks pendapatan purata yang stabil pada 4% dan inflasi tahunan yang dijangka meningkat dari 1.7% kepada 1.8%. Sebarang perkembangan positif tentang isu Brexit dijangka akan terus memacu Pound dan begitu juga sebaliknya.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Switzerland dan sentimen pasaran yang semakin pulih dijangka akan terus mengurangkan “net-long” Swiss di pasaran hadapan.

Asia/Australia

Aussie dijangka terus disokong oleh strategi “buy-on-dip” lantaran sentimen rundingan dagang AS-China yang positif dan juga kadar pengangguran yang dijangka stabil pada 5.3%, walaupun hanya menambah 15 ribu pekerjaan berbanding 34,700 pada sebelumnya. Kiwi juga dijangka stabil dengan sentimen semasa dan laporan inflasi suku ketiga yang dijangka stabil pada 0.6%.

Yen dijangka terus dijual dengan sentimen semasa, walaupun inflasi tahunan dijangka meningkat dari 0.3% kepada 0.4%. Namun begitu, sekiranya sentimen bertukar hambar, Yen mampu membuat pacuan mengejut.

Saham

Pelabur dijangka mula memberikan perhatian kepada syarikat-syarikat Amerika Utara dan Eropah yang bakal melaporkan pendapatan suku ketiga disamping syarikat-syarikat Asia yang masih dalam fasa laporan kewangan terkini. Sentimen yang semakin pulih dijangka mendorong pelabur jangka pendek membida, walaupun pelabur jangka panjang dilihat lebih berminat untuk mencairkan pegangan belian mereka.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham dan ETF seperti Center Coast (CEN), Avenue Credit (ACP), Cohen & Steers (MIE), Brookfields (RA), Gamco (GGN), Cushing Renaissance (SZC), Gazprom (GZP), Delaware Enhanced (DEX), Oxford Lane (OXL), Stoneharbor (EDF), Waterloo Brewing (WBR), Global Water (GWR), Boston Pizza (BPF) dan Aberdeen AP (FAP).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham dan ETF seperti Newriver Retail (NRRT), CATCo (CATCC), Doric (DNA3), Photo-Me (PHTM), Lookers (LOOK), UK Mortgages (UKML), 24 Select (SMIF), Ediston Property (EPICE), 24 Income (TFIF), Supermarket Income (SUPR), John Menzies (MNZS), City Merchants (CMHY), BAE Systems (BAES), Wilmington (WIL), JSC MMC (NKEL), RD Shell (RDS), Phoenix (PHNX), Regional REIT (RGLR), Evraz (EVRE), dan Ferrexpo (FXPO).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti Reverse Corp (REF), Silver Chef (SIV), HKI (219550), PSK (031980), Hyosung (004800), Prospect (3528), Otsuka Kagu (8186), Ivy Cosmetics (4918), Verite (9904), Le Saunda (0738), Universe International (1046), Merck (MERK), Smart (SMAR), Plaza Indonesia (PLIN), Duta Anggada (DART), NetX (0020), Anzo (9342), Sanichi (0133), Dnex (4456), JAKS (4723), IStone (0209), EconBHD (5253), AME (5293), dan EA Technique (5259).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.