Ulasan Mingguan

Pasaran secara umum kelihatan teruja pada minggu ke-36 apabila AS dan China mengesahkan akan kembali ke meja rundingan pada bulan depan. Namun masih terdapat ramai pengurus dana yang skeptikal dengan perkembangan terbaru ini apabila aset “safe-haven” dilihat masih mendapat permintaan, terutamanya selepas angka sektor pekerjaan Amerika Syarikat dilaporkan lemah pada hari Jumaat.

Indeks Dolar kelihatan tertekan dengan penutupan di bawah paras 98.50 mata pada minggu lepas dan dijangka terus tertekan minggu ini dengan pelbagai laporan ekonomi Amerika Syarikat yang dijangka mengecewakan dan sentimen penurunan kadar faedah Feds. Namun begitu aliran “safe-haven” dilihat masih mampu menyokong Dolar.

Pasaran hadapan secara keseluruhan (-0.08%) jatuh pada Jumaat lepas, dengan kejatuhan diketuai oleh daging (-2.1%), logam (-0.25%) dan kewangan/bon (-0.12%); sementara permintaan dipacu oleh minyak/tenaga (+0.97%), indeks saham (+0.18%) dan barangan lembut (+0.12%).

Di pasaran hadapan matawang pula, sentimen yang optimis menyokong permintaan untuk Peso Mexico (+0.10%), Dolar Australia (+0.06%), Dolar AS (+0.05%) dan Dolar Kanada (+0.04%) sementara Yen (-0.02%), Euro (-0.05%), Pound (-0.11%) dan Swiss (-0.14%) hilang permintaan.

Indeks “CNN Fear & Greed” menutup pada 35 mata yang nyata lebih baik dari 23 dan 25 mata pada seminggu dan sebulan yang lalu; namun masih rendah dari 53 mata, pada setahun yang lalu. Sebarang lonjakan dilihat sebagai peluang baik untuk pelabur jangka panjang mencairkan pegangan belian mereka.

Tiada sebarang kejutan utama pada minggu lepas selain dari angka sektor pekerjaan Amerika Syarikat yang mengecewakan, walaupun sebelum itu laporan swasta ADP menunjukkan perkembangan yang baik. Jabatan Buruh AS melaporkan pertambahan sebanyak 130 ribu pekerjaan sahaja berbanding jangkaan pasaran sebanyak 159 ribu. Sebelum itu firma swasta, Automatic Data Processing (ADP) melaporkan pertambahan sebanyak 195 ribu pekerjaan berbanding 142 ribu jangkaan.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+24.13%), S&P500 (+18.95%), Dow (+15.20%), TSX (+15.11%) Eropah – SMI (+19.47%), EuroStoxx (+16.43%), DAX (+15.77%), FTSE UK (+7.49%) Asia/Australia – Nikkei (+6.51%), HangSeng (+3.23%), KLCI (-5.09%), ASX (+17.74%)

(Baca pandangan minggu ke-36 disini)

 

Pandangan Mingguan

Indeks Dolar yang menutup di bawah paras 98.50 mata pada minggu lepas seakan memberikan isyarat bahawa lebih banyak kejatuhan akan berlaku minggu ini, terutamanya dengan pelbagai laporan ekonomi Amerika Syarikat yang dijangka mengecewakan. Namun pasaran yang memberikan harapan pada rundingan dagang AS-China pada bulan depan dan aliran “safe-haven” dilihat masih mampu menyokong Dolar.

Laporan kewangan suku kedua kini telah pun berakhir untuk kebanyakan syarikat-syarikat melainkan beberapa syarikat yang lewat dalam laporan mereka. Pelabur dijangka akan terus memberikan perhatian kepada saham-saham defensif dan industri baru yang berpotensi untuk menjana pulangan tinggi dalam jangka masa panjang. Saham pelaburan alternatif dan ETF juga dijangka akan kembali mendapat perhatian.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS yang lemah minggu lepas kesan dari sektor pekerjaan AS yang semakin menguncup, dilihat akan terus lemah apabila peluang pekerjaan dijangka menurun dari 7.348 juta kepada 7.311 juta, indeks harga pengeluar dijangka menurun dari 0.2% kepada 0.1%, inflasi teras bulanan dijangka turun dari 0.3% kepada 0.1% dan juga jualan runcit yang dijangka menurun dari 0.7% kepada 0.2%.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Kanada minggu ini, dilihat akan menjadikan minyak sebagai pemangkin untuk arah CAD selanjutnya.

Eropah

Pound membuat lonjakan hari ini apabila laporan KDNK UK menunjukkan keputusan yang lebih baik dari jangkaan. Ekonomi pada suku kedua dilaporkan masih berkembang pada 0.3% berbanding sifar pada suku pertama. Produksi perkilangan juga dilaporkan berkembang pada 0.3% yang nyata lebih baik daripada -0.1% jangkaan pasaran. Indeks pendapatan purata yang dijangka stabil pada 3.7% dilihat akan mengapungkan Pound, walaupun tuntutan bantuan pengangguran yang dijangka meningkat dari 28 ribu kepada 29,300 serta isu pilihanraya awal boleh mengekang kenaikan Pound.

Minggu yang penting buat Euro dengan keputusan mesyuarat kadar faedah ECB pada minggu ini. Bank Pusat Eropah dijangka mengekalkan kadar pinjaman pada 0.25% dan menaikkan “fee” deposit antara bank dari 0.4% kepada 0.5% dalam usaha untuk mengalakkan aliran tunai dalam sistem perbankan bagi menjana ekonomi Zon Ekonomi Eropah.

Asia/Australia

Aussie dan Kiwi dijangka terus mendapat permintaan kesan dari sentimen rundingan dagang AS-China yang kembali optimis, walaupun sentimen penurunan kadar faedah RBA dilihat akan mengekang sebarang kenaikan AUD/USD melebihi kadar tukaran 0.7050.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Jepun minggu ini, selain dari laporan KDNK suku kedua yang menurun dari 0.4% kepada 0.3% serta sentimen pasaran yang lebih optimis dilihat akan menyebabkan pelabur kembali menjual Yen.

Saham

Kebanyakan syarikat-syarikat mula membuat pembayaran dividen minggu ini dan ini dijangka akan menarik perhatian pelabur di samping saham-saham defensif dan industri baru yang berpotensi untuk menjana pulangan tinggi dalam jangka masa panjang. Saham pelaburan alternatif dan ETF juga dijangka akan kembali mendapat perhatian.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham dan ETF seperti Mineral Resources (MALRY), Dreyfus High Yield (DHF), Ladder Capital (LADR), Occidental (OXY), Voya Prime Rate Trust (PPR), Kontoor Brands (KTB), Nuveen Credit (JQC), Virtus Global (ZTR), Guggenheim (GPM), Fortress Biotech (FBIOP), World Financial Split (WFS), CBL Associates (CBL), Just Energy (JE) dan PIMCO Global Stocks (PGP).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham dan ETF seperti Fair Oaks Income (FAIR), Costain (COSG), Maintel (MAIH), Honeycomb Investment (HONY), Ediston Property (EPICE), TOC Property (PBLT), Belvoir Lettings (BLVB), Highcroft Investments (HCFT), BMO Real Estate (BREI), Cineworld (CINE), Albion Development (AADV), BMO Commercial (BCPT), RPS Group (RPS), Highland Gold (HGM), Temple Bar (TMPL), Frenkel (FEN), South 32 (S32), Assura (AGRP), BBA Aviation (BBA), dan XP Power (XPP).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti Cedar Woods Properties (CWP), Pendal (PDL), Challenger (CGF), Nick Scali (NCK), Fortescue Metals (FMG), Agile Group (3383), KWG Property (1813), Nine Dragons (2689), China Aircraft Leasing (1848), CIMC Group (2039), JFE Holdings (5411), Senshu Ikeda (8714), Iwai Cosmo (8707), Tambang Batubara (PTBA), Asuransi Jasa Tania (ASJT), Hexindo Adiperkasa (HEXA), Symphony Life (1538), Country View (5049), EUPE Corp (6815) Country Heights (5738), APM Auto (5015), CSC Steel (5094), EcoWorld (5283), dan Oriental Food (7107)

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.