Ulasan Mingguan

Minggu ke-32 menyaksikan indeks utama S&P500 menutup dengan “bullish hammer”, seakan memberikan gambaran bahawa pasaran saham masih “bullish”; namun saya melihat ianya hanyalah helah “market maker” yang mahu terus menjual pada harga yang lebih tinggi. Dalam pada itu, pengurus dana kelihatan terus mencairkan pegangan belian mereka dan menambah pegangan jualan dengan perbezaan yang terus meningkat.

Pulangan bon jangka pendek terus melebihi bon jangka panjang dengan perbezaan yang semakin besar berbanding ketika ia mula bersilang pada hujung bulan Mei lalu; sekaligus menunjukkan sentimen pelabur yang semakin pesimis. Aset “safe-haven” dijangka terus mendapat permintaan di samping saham-saham defensif dan pelaburan alternatif untuk menghadapi kejatuhan pasaran saham seterusnya.

Pasaran hadapan secara keseluruhan (+0.08%) naik pada Jumaat lepas, dan kenaikan ini dipacu oleh tenaga (+1.4%) serta bijirin (+0.51%); sementara pelabur terus menjual indeks saham (-0.84%), daging (-0.38%) dan barangan lembut (-0.25%).

Di pasaran hadapan matawang, permintaan dipacu oleh Yen (+0.36%), Peso Mexico (+0.29%) dan Swiss (+0.29%); sementara Pound (-0.66%), Dolar Australia (-0.19%) dan Dolar AS (-0.11%) terus menghadapi tekanan jualan.

Sentimen terus merudum dengan indeks “CNN Fear & Greed” terus berada dalam trend menurun dengan 70 mata pada 52 minggu yang lalu, 58 mata sebulan yang lalu, 36 mata pada seminggu yang lalu dan 25 mata pada Jumaat lepas. Sentimen dijangka terus merudum untuk enam bulan yang akan datang dan sebarang kenaikan dilihat sebagai kesan dari tindakan pelabur yang mengambil untung jualan.

Tiada sebarang kejutan utama pada minggu lepas selain dari laporan perkembangan ekonomi UK yang lebih teruk dari jangkaan dan berita hujung minggu bahawa kerajaan China dijangka campur tangan dalam keganasan yang berlaku di Hong Kong. Ini dijangka akan terus menghambarkan sentimen pasaran pada minggu ini.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+20.15%), S&P500 (+15.68%), Dow (+11.87%), TSX (+14.00%) Eropah – SMI (+15.92%), EuroStoxx (+11.01%), DAX (+10.78%), FTSE UK (+7.69%) Asia/Australia – Nikkei (+3.35%), HangSeng (-0.08%), KLCI (-4.47%), ASX (+16.72%)

(Baca pandangan minggu ke-32 disini)

 

Pandangan Mingguan

Minggu 33 dijangka menjadi minggu yang penting buat Dolar yang tertekan sepanjang minggu lepas. Sokongan kukuh dilihat sekitar paras 97.00-97.50 pada hari Jumaat, lantaran permintaan “safe-haven”; namun dengan sentimen penurunan kadar Feds, ianya masih menjadi tanda tanya sama ada Dolar akan terus mendapat sokongan pada paras tersebut minggu ini.

Laporan kewangan suku kedua yang kini memasuki minggu kelima dan data-data ekonomi dijangka akan terus mendapat perhatian pelabur dalam membuat keputusan selanjutnya. Perlindungan portfolio dijangka akan terus menjadi arah pelaburan untuk enam bulan yang akan datang.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar dijangka terus tertekan dengan laporan indeks perkilangan Philadelphia yang dijangka merudum dari 21.8 kepada 10 mata, jualan runcit yang menurun dari 0.4% kepada 0.3% dan sentimen pengguna yang juga dijangka lemah dari 98.4 kepada 97.2 mata; walaupun inflasi tahunan dijangka naik dari 1.6% kepada 1.7%. Namun begitu, permintaan “safe-haven” dilihat akan menahan sebarang kejatuhan dari jualan besar-besaran.

Ketiadaan sebarang laporan berimpak tinggi dari Kanada minggu ini, dilihat akan terus melemahkan CAD yang kini terjejas dengan harga minyak mentah yang terus merudum.

Eropah

Euro dijangka terus tertekan dengan jangkaan laporan sentimen ekonomi Jerman yang menurun lebih lemah, dari -24.5 kepada -28.5 mata disamping laporan KDNK suku kedua yang juga dijangka menguncup dari 0.4% kepada -0.1%; sementara Ekonomi Euro-Zone secara keseluruhan dijangka menguncup dari 0.4% kepada 0.2%.

Pound pula dijangka mendapat sokongan apabila pejabat Perdana Menteri Britain mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mahukan UK keluar dari Kesatuan Eropah pada 31 Oktober ini dengan perjanjian. Dalam pada itu, sektor pekerjaan UK dijangka lebih baik dengan indeks pendapatan yang meningkat dari 3.4% kepada 3.7% dan bantuan pengangguran yang dijangka menurun dari 38 ribu kepada 32 ribu permohonan.

Namun begitu, jangkaan inflasi yang menurun dan 2% kepada 1.9% dan jualan runcit yang dijangka lemah dari 1% kepada 0.2% di bawah sifar dilihat akan mengekang kenaikan Pound.

Tiada laporan berimpak tinggi dari Switzerland minggu ini.

Asia/Australia

Tiada laporan berimpak tinggi dari Asia dan Australia minggu ini selain daripada laporan kadar pengangguran Australia yang dijangka stabil pada 5.2%.

Saham

Musim laporan pendapatan syarikat untuk suku kedua diteruskan lagi untuk minggu kelima dan para pelabur dijangka meneruskan pembelian saham-saham defensif serta saham-saham industri baru yang dilihat akan memberi potensi pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham-saham seperti Cisco (CSCO), Walmart (WMT), Nvidia (NVDA), Deere & Co (DE), Applied Materials (AMAT), Agilent Tech (A), Canopy Growth (WEED), Barrick Gold (ABX), Macy (M), Enphase Energy (ENPH), Digital Turbine (APPS), Axsome Thera (AXSM), dan Shopify (SHOP).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham-saham seperti British Land Co (BLND), Prudential (PRU), Admiral Group (ADML), Golden Prospect (GPSS), Bidstack (BIDS), Proton Power (PPS), Futura Medical (FUM) dan Pan African Resources (PAF).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti CSL (CSL), Westpac (WBC), ANZ Banking (ANZ), National Australia Bank (NAB), Pro Medicus (PME), Korea Zinc (010130), Dongbu Insurance (005830), Hankook Tire (000240), Indemitsu (5019), Indocement (INTP), Indika Energy (INDY), Matahari (LPPF), Hotel Mandarine (HOME), Trada Maritime (TRAM), Yes Bank (YESB), NBCC India (NBCC), SAPNRG (5218), Velesto (5243), DGSB (0131), Bio Holding (0179) dan Vsolar (0066).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.