Ulasan Mingguan

Minggu ke-31 merupakan minggu yang dinanti-nantikan oleh “big player” yang mahu mencairkan pegangan belian mereka di pasaran saham, apabila Presiden Trump memberikan isyarat bahawa rundingan dagangan AS-China telah gagal dan tarif baru akan dikenakan ke atas China. “Net-short” di indeks utama S&P500 kini mencecah lebih 8 juta dan jualan dijangka akan berterusan terutamanya dengan laporan ekonomi AS yang menunjukkan perkembangan yang semakin perlahan.

Sentimen tersebut menyebabkan permintaan untuk aset “safe-haven” tradisi seperti bon dan logam berharga kembali memacu permintaan disamping matawang “safe-haven” tradisi Swiss dan Yen. Pelabur juga didapati terus membida saham-saham defensif dan pelaburan alternatif untuk menghadapi kejatuhan pasaran saham selanjutnya.

Pasaran hadapan secara keseluruhan (+0.07%) naik pada Jumaat lepas, namun kenaikan ini dipacu oleh bijirin (+1.02%), tenaga (+0.83%) dan bon/kewangan (+0.28%); sekaligus menunjukkan sentimen “risk-off” apabila indeks saham (-0.86%) mendahului kejatuhan, disamping barangan lembut (-0.85%) dan daging (-0.40%).

Di pasaran hadapan matawang, sentimen ini terserlah dengan lebihan permintaan untuk Swiss (+0.75%), Yen (+0.74%) dan Euro (+0.23%); sementara Peso Mexico (-0.52%), Dolar AS (-0.30%) dan Dolar Australia (-0.13%) menghadapi tekanan jualan.

Keadaan panik di pasaran ini ditunjukkan oleh indeks “CNN Fear & Greed” yang berada dalam trend menurun dengan 68 mata pada 52 minggu yang lalu, 62 mata sebulan yang lalu, 60 mata pada seminggu yang lalu dan 36 mata pada Jumaat lepas.

Mungkin apa yang mengejutkan sebahagian pelabur pada minggu lepas adalah kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang tiba-tiba mengatakan rundingan dagangan AS-China telah gagal dan tarif baru akan dikenakan; walaupun itu sememangnya telah dijangka sebelum ini oleh sebahagian lagi pelabur yang sememangnya menanti kenyataan tersebut. Indeks S&P500 yang membuka dengan “gap-down” hari ini, memberikan isyarat bahawa jualan di pasaran saham dijangka berterusan sepanjang musim panas.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama global semuanya menurun dari minggu lepas – Nasdaq (+18.74%), ASX (+17.60%), S&P500 (+14.99%), SMI (+14.26%), TSX (+13.61%), Dow (+11.69%), EuroStoxx (+10.77%), DAX (+10.73%), FTSE UK (+7.86%), Nikkei (+3.52%) dan HangSeng (+1.18%) – kecuali KLCI (-4.74%) yang jatuh lebih teruk. (Baca pandangan minggu ke-31 disini)

 

Pandangan Mingguan

Minggu 32 dijangka sedikit sepi di pasaran utama dengan pelabur yang masih cuba membuat penilaian tentang apa yang berlaku pada minggu lepas dan kedudukan portfolio mereka dengan perkembangan terbaru tersebut. Secara umum, pasaran dijangka akan terus memburu aset “safe-haven” tradisi bon dan logam berharga, di samping aset alternatif dan saham-saham defensif serta saham-saham industri baru yang mampu memberikan pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

Laporan kewangan suku kedua kini semakin hangat di samping data-data ekonomi yang dijangka akan terus mendapat perhatian pelabur pada minggu ini.

Amerika Syarikat & Kanada

Walaupun merudum pada dua hari terakhir minggu lepas, indeks Dolar masih menutup tinggi di atas paras 98 mata dan kejatuhan hari ini merupakan satu “pullback” lantaran pembelian aset “safe-haven” Swiss dan Yen; yang sekaligus melonjakkan Euro dan Pound. Indeks Dolar dijangka mendapat sokongan dari “carry traders” sekitar paras 97.50 mata, namun dengan kekurangan data ekonomi dari Amerika Syarikat dan Kanada minggu ini, sentimen pasaran dijangka terarah kepada perlindungan portfolio.

Amerika Syarikat telah pun menyaksikan indeks perkhidmatan yang melemah dari 55.1 kepada 53.7, walaupun pasaran menjangkakan 55.5 mata. Namun begitu, pasaran pekerjaan AS dijangka memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik, menawarkan 7.45 juta kekosongan jawatan berbanding 7.323 juta sebelumnya. Indeks pengurus pembelian juga dijangka naik dari 0.1% kepada 0.2%.

Jiran AS, Kanada pula dijangka mencatat indeks ivey yang lebih baik, 53 mata berbanding 52.4; dan sektor pekerjaan yang dijangka menambah 12,500 jawatan baru, berbanding kehilangan 2,200 jawatan pada sebelumnya. Keadaan ini dijangka akan menyokong sentimen belian untuk CAD disaat kejatuhan harga minyak mentah.

Eropah

Eropah membuka minggu dengan laporan indeks pengurus pembelian UK yang lebih baik dari jangkaan, 50.7 berbanding 49.8 mata; dan 49.7 mata pada sebelumnya. Namun dengan laporan KDNK tahunan yang dijangka menurun dari 1.8% kepada 1.4% dan sentimen Brexit yang semakin haru, strategi “sell-on-rally” dijangka akan menjadi pilihan trader dan pelabur.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Zon Ekonomi Eropah minggu ini, dijangka akan mengekang kenaikan kadar tukaran EUR/GBP.

Asia

Minggu yang penting buat Asia apabila Bank Pusat Australia dan New Zealand bakal mengumumkan keputusan mesyuarat kadar faedah mereka. RBA dijangka mengekalkan kadar pada 1% sementara RBNZ pula dijangka menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 1.25% disamping mengumumkan sektor pekerjaan di New Zealand yang meningkat dari -0.2% kepada 0.3%.

Minggu yang sepi buat Jepun yang hanya melaporkan KDNK suku kedua yang dijangka menguncup dari 0.6% kepada 0.1%; namun sentimen “risk-off” akan terus menyokong belian untuk Yen.

Saham

Musim laporan pendapatan syarikat untuk suku kedua memasuki minggu keempat dan para pelabur dijangka akan terus membuat “rebalancing” dalam portfolio pelaburan mereka; dengan pencairan belian jangka panjang dan pembelian saham-saham defensif serta saham-saham industri baru yang dilihat akan memberi potensi pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham-saham seperti Walt Disney (DIS), Booking (BKNG), CVS Health (CVS), Hewlett Packard (HPE), Loews (L), Duke Energy (DUK), AIG (AIG), Brooking Asset Mgmt (BAM), Kraft Heinz (KHC), Monster Beverages (MNST), FOX (FOX), dan Manulife (MFC).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham-saham seperti HSBC (HSBA), Rolls Royce (RR), Glencore (GLEN), Unicredit (CRDI), Legal & General (LGEN), KBC (KBC), Aviva (AV) dan Wire Plastics Products (WPP).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti Commonwealth Bank (CBA), Transurban (TCL), Insurance Australia (IAG), AGL Energy (AGL), Hyundai (012330), Kepco (015760), Celltrion (068270), Kakao (035720), Mitsubishi Heavy Ind. (7011), Suzuki Motor (7269), Subaru Corp (7270), Meiji (2269), Kirin (2503), NTT (9432), Softbank (9984), Indofood (INDF), Indosat (ISAT), Mahindra (MAHM), Tata Steel (TISC), Titan (TITN), PHB (4464), NetX (0020), Xinghe (0095), Sumatec (1201) dan Impiana (7243).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.