Berikut adalah laporan sentimen harian sepanjang minggu ke-31, 2019 yang lepas.

Jumaat, 2 Ogos 2019.

BUY JPY CHF USD GBP EUR CAD NZD AUD SELL

Khamis, 1 Ogos 2019.

BUY JPY CHF USD CAD EUR GBP NZD AUD SELL

Rabu, 31 Julai 2019.

BUY USD CHF JPY CAD EUR AUD NZD GBP SELL

Selasa, 30 Julai 2019:

BUY CHF CAD EUR JPY USD NZD AUD GBP SELL

Isnin, 29 Julai 2019:

BUY EUR USD CAD JPY CHF AUD NZD GBP SELL

 

Ulasan Mingguan

Pergerakan “order flow” di pasaran matawang minggu lepas secara umumnya boleh dikategorikan sebagai panik; apabila matawang safe-haven USD, CHF dan JPY menerima lebih banyak permintaan berbanding matawang G8 yang lain, terutamanya matawang komoditi AUD dan NZD yang ternyata lebih banyak dijual. Dalam pada itu, walaupun spekulator lebih banyak menjual emas, dealer pula lebih banyak membeli dan membida emas lebih tinggi apabila berita mengatakan rundingan AS-China telah gagal.

Retorik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah dijangka itu memang dinantikan oleh “big player” yang sedia menjual pegangan belian mereka di pasaran saham. Indeks S&P500 yang telah pun “net-short” lebih 200 ribu kontrak pada Jumaat sebelumnya, kini mencapai lebih 8 juta kontrak jualan pada Jumaat lepas! Kontrak jualan terbesar adalah pada hari Khamis, dengan hampir 2.7 juta kontrak.

“Risk-Off” ini jelas apabila matawang EUR lebih banyak dibeli berbanding GBP sepanjang minggu dan juga emas yang kembali memacu naik di atas paras $1,400. Dalam pada itu, enjin ekonomi, minyak mentah terus tertekan dengan kontrak jualan mencecah lebih 3.2 juta kontrak pada minggu lepas. Ini secara tidak langsung mengekang sebarang kenaikan nilai matawang Kanada, CAD, yang banyak bergantung kepada eksport minyak mentah.

Dengan Federal Reserve Amerika Syarikat yang telah pun menurunkan kadar faedah pada minggu lepas, dan laporan sektor pekerjaan serta perindustrian AS yang semakin lemah; pelabur dijangka akan terus mencairkan pegangan belian mereka di pasaran saham dan juga membuat jualan baru. Pulangan dana ini sebahagiannya dijangka akan dipegang secara tunai dan sebahagian lagi akan dilaburkan ke dalam pelaburan alternatif dan saham-saham defensif.

 

Ulasan Matawang Utama

EUR/USD: Sentimen menunjukkan Euro yang awalnya lebih banyak dibeli, kembali tertekan selepas Dolar kembali mendapat permintaan kesan dari permintaan untuk aset “safe-haven” yang memuncak apabila Presiden Trump diberitakan mahu mengenakan cukai baru ke atas China dan rundingan AS-China telah gagal. Dana ransangan baru yang dirancang ECB juga terus melemahkan Euro.

Laporan komitmen trader sehingga 30 Julai, menunjukkan spekulator terus menambah net volume jualan EUR sebanyak 14,979 kontrak kepada 53,983 kontrak. Sehingga Jumaat lepas, rancangan jualan UBS telah pun aktif.

 

GBP/USD:  Pound terus merudum apabila kabinet Perdana Menteri Britain yang baru, Boris Johnson dikatakan sedang bersedia untuk meninggalkan Eropah tanpa sebarang perjanjian pada 31 Oktober ini. Langkah tersebut akan memisahkan Scotland dari UK dan tentunya akan membentuk sempadan baru yang menjadi kontroversi. Ramai penganalisis melihat Pound kini berada di bawah nilai sebenar.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator terus menambah net volume jualan GBP sebanyak 11,567 kontrak kepada 90,150 pada 30 Julai. Sehingga Jumaat lepas, rancangan belian UBS masih aktif dan Citibank pula telah memasuki pasaran sekitar paras yang sama.

 

AUD/USD: Spekulasi bahawa rundingan AS-China akan gagal akhirnya menjadi kenyataan dan Aussie terus merudum hampir 300 pips sepanjang dua minggu lepas. Sentimen satu lagi penurunan kadar faedah dari RBA pada tahun ini, juga turut menekan Aussie di samping laporan ekonomi China dan Australia yang menunjukkan perkembangan yang lebih perlahan.

Laporan komitmen trader sehingga 30 Julai menunjukkan spekulator kembali menambah net volume jualan AUD sebanyak 5,462 kontrak kepada 53,442 kontrak. Rancangan belian Citibank telah aktif pada 1/8 dan mengenai SL pada esoknya.

 

USD/JPY: Dolar/Yen menerima kejutan pada hari Khamis apabila spekulasi kegagalan rundingan AS-China menjadi kenyataan. Sebelum itu, keputusan mesyuarat kadar faedah FOMC Amerika Syarikat, teguh menyokong Dolar; namun keputusan Presiden Trump yang sudah dijangka itu terus merudumkan Dolar dan pasaran saham AS.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator mengurangkan net volume jualan JPY sebanyak 5,159 kontrak kepada 4,218 pada 30 Julai. Sehingga Jumaat lepas  Citibank  telah memasuki semula pasaran pada 1/8 selepas rancangan jualannya mengenai SL pada hari yang sama.  Jualan UBS pula telah mencapai sasaran pada 1/8.

 

USD/CHF: Swiss kembali mendapat permintaan apabila rundingan AS-China diberitakan gagal dan pelabur Eropah mula membida matawang “safe-haven” itu. Kejatuhan nilai Dolar/Swiss dijangka akan menarik minat pelabur jangka panjang yang mencari pulangan bebas risiko.

Laporan komitmen trader sehingga 30 Julai menunjukkan spekulator terus menambah net volume jualan CHF sebanyak 1,295 kontrak kepada 14,488 kontrak.

 

USD/CAD: Sentimen menunjukkan lebih banyak permintaan untuk Dolar berbanding CAD, lantaran kelemahan harga minyak mentah yang masih berterusan di pasaran. Dengan sentimen ekonomi global yang dijangka semakin lemah dan Dolar yang mengukuh, minyak mentah hanya akan memacu naik sekiranya ketegangan di Teluk Parsi kembali memuncak.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator mengurangkan net volume belian CAD sebanyak 9,028 kontrak kepada 21,722 pada 30 Julai. Sehingga Jumaat lepas, UBS masih belum memasuki pasaran dan jualan Citibank pula telah mengenai SL pada 2/8.

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Analisa sentimen hanyalah satu dari tiga analisa utama dalam membuat keputusan dagangan. Trader dinasihatkan untuk melihat juga analisa fundamental dan teknikal sebelum berdagang. Baca lebih lanjut tentang analisa sentimen dan bagaimana menggunakannya disini.