Ulasan Mingguan

Minit mesyuarat FOMC, keterangan Presiden Feds kepada kongres Amerika Syarikat, laporan peluang pekerjaan AS dan keputusan kadar faedah Kanada menjadi tajuk utama minggu lepas. Semuanya kini mengesahkan penurunan kadar feadah AS pada hujung bulan ini dengan pasaran hadapan dana Feds kini meletakkannya pada 100% kebarangkalian. Sentimen rundingan dagang AS-China yang masih optimis turut membantu mengukuhkan harga komoditi.

Secara keseluruhan (+0.09%) pasaran hadapan sedikit bertenaga dengan daging (+0.43%), logam (+0.26%) dan barangan lembut (+0.14%) mendapat sokongan belian; sementara bon/kewangan (-0.17%), tenaga (-0.01%) dan matawang (-0.01%) ketinggalan ketika pasaran menutup Jumaat lepas.

Di pasaran hadapan matawang, kejatuhan diketuai oleh Yen (-0.21%), Pound British (-0.04%) dan Swiss (-0.04%); sementara Peso Mexico (+0.12%), Dolar Australia (+0.07%) dan Dolar AS (+0.05%) mengetuai permintaan. Walaupun keseluruhan pasaran (+0.09%) positif bersama indeks saham (+0.08%) dan kejatuhan bon/kewangan (-0.17%), sokongan belian untuk logam (-0.26%) menunjukkan pasaran yang masih terus berhati-hati.

Dalam pada itu, indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran yang semakin optimis, dengan trend menaik, sepanjang 52 minggu lepas. Pasaran menutup dengan 64 mata pada Jumaat lepas, berbanding 49 mata setahun yang lalu, 34 mata pada sebulan lepas, dan 61 mata pada Jumaat sebelumnya.

Tiada sebarang kejutan utama pada minggu lepas apabila pasaran menyedari Laporan NFP Amerika Syarikat hanyalah indah khabar dari rupa. Pasaran kini meletakkan 100% kebarangkalian untuk penurunan kadar faedah AS pada hujung bulan ini dan sekiranya Feds gagal memenuhi harapan ini; semestinya pasaran saham akan merudum dan permintaan untuk Dolar akan melonjak, di samping pembelian logam berharga.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham AS dan Asia rata-rata terus memacu naik – Nasdaq (+25.56%), S&P500 (+20.10%), Dow (+17.08%), HangSeng (+10.48%), Nikkei (+8.35%) – kecuali ASX (+17.83%), SMI (+16.34%), DAX (+17.32%), TSX (15.21%), EuroStoxx (+16.69%), dan FTSE UK (+11.93%) yang menurun dan KLCI (-1.08%) yang jatuh lebih teruk berbanding minggu lepas. (Baca pandangan minggu ke-28 disini)

 

Pandangan Mingguan

Dolar AS dijangka terus tertekan minggu ini, dengan jangkaan laporan jualan runcit yang melemah walaupun indeks perkilangan Philadelphia dijangka mengukuh. Laporan peluang pekerjaan AS minggu lepas yang mengesahkan peluang pekerjaan yang semakin berkurang, seakan mematri keputusan Feds untuk menurunkan kadar faedah AS pada hujung bulan ini. Namun sekiranya laporan ekonomi AS untuk beberapa minggu yang akan datang bertambah baik, Dolar dijangka akan kembali kukuh.

Perbezaan pulangan bon jangka pendek dan panjang kini lebih mendapat perhatian disamping rundingan dagang AS-China yang diharapkan dapat menyelamatkan ekonomi global dari tersembam. Musim laporan kewangan untuk suku kedua yang bermula minggu ini juga akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kesihatan ekonomi dunia.

Amerika Syarikat & Kanada

Dengan sentimen semasa, indeks Dolar dijangka terus melemah dengan paras 97.60/80 mata kekal sebagai rintangan utama dan paras 96.40/20 sebagai sokongan jangka pendek; lantaran jualan runcit yang dijangka melemah dari 0.5% kepada 0.1% walaupun indeks perkilangan Philadelphia dijangka mengukuh dari 0.3 kepada 5.0 mata di samping sentimen pengguna yang juga bertambah baik dari 98.2 kepada 98.6 mata.

Jiran AS, Kanada pula dijangka menyaksikan jualan runcit yang lebih baik, meningkat dari 0.1% kepada 0.3% di samping inflasi teras tahunan yang meningkat dari 2.1% kepada 2.6% dan semuanya ini dijangka terus mengukuhkan CAD selepas BoC mengekalkan kadar faedah pada minggu lepas.

Eropah

Eropah bakal membuka minggu dengan laporan sentimen ekonomi Jerman yang dijangka lebih lemah, jatuh dari -21.1 kepada -22.1 mata walaupun inflasi tahunan zon ekonomi Eropah dijangka stabil pada 1.2% dan ini dijangka akan melemahkan Euro.

Dalam pada itu, UK dijangka akan melaporkan kesihatan sektor pekerjaannya dengan indeks pendapatan yang dijangka stabil pada 3.1% dan tuntutan bantuan pengangguran yang berkurang dari 23,200 kepada 18,900 penganggur di samping inflasi tahunan yang dijangka stabil pada 2.0%. Laporan jualan runcit UK yang juga menunjukkan penambahbaikan dari -0.5% kepada -0.3% dijangka akan mengukuhkan Pound minggu ini. Namun tekanan pemilihan perdana menteri baru dan isu Brexit dilihat akan terus mengekang kenaikan Pound.

Asia

Laporan produksi industri China yang lebih baik dari jangkaan, 6.3% berbanding 5.2%, yang nyata lebih baik dari 5% sebelumnya, terus mengapungkan matawang komoditi hari ini dan minit mesyuarat Bank Pusat Australia akan menjadi perhatian seterusnya, disamping laporan inflasi New Zealand yang dijangka mengukuh dari 0.1% kepada 0.6%

Minggu yang sepi untuk Jepun dengan hanya laporan inflasi tahunan yang dijangka meningkat dari 0.7% kepada 0.8% yang dilihat akan membantu mengukuhkan Yen.

Saham

Musim laporan pendapatan syarikat untuk suku kedua bermula minggu ini dan para pelabur dijangka akan membuat “repositioning” dalam portfolio pelaburan mereka, terutamanya dengan pasaran bon yang menjangkakan krisis ekonomi untuk Amerika Syarikat. Para pelabur dijangka akan kembali memilih saham-saham defensif disamping mencari peluang pelaburan dalam industri baru yang berpotensi menjana pulangan tinggi.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham-saham perbankan dan institusi kewangan seperti Citigroup (C), JP Morgan (JPM), WellsFargo (WFC), GoldmanSachs (GS), Bank of America (BAC), MorganStanley (MS), American Express (AXP), BlackRock (BLK) disamping saham-saham syarikat pengguna seperti Johnson&Johnson (JNJ), AbbotLabs (ABT), Honeywell (HON), Netflix (NFLX), dan PhillipMorris (PM).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham-saham seperti Burberry (BRBY), Land Securities (LAND), EasyJet (EZJ), Severn Trent (SVT), dan Scottish & Southern Energy (SSE).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti Mirae Daewoo (006800), Shinsegae (004170), DongWon System (014820), Hanssem (009240), KTG Group (033780), Hana Financial (086790), Asahimas Indo (AMFG), Arwana Citra (ARNA), Bank Permata (BNLI), Maxis (6012), Digi (6947), TNB (5347), Public Bank (1295), Maybank (1155), CIMB (1023) dan HDFC Bank India (HDBK).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.