Walaupun saya selalu memerhatikan dagangan dan pelaburan yang dibuat oleh “big player”, namun itu tidaklah bermakna semua yang mereka buat adalah menguntungkan. Kalau tidak takkanlah Lehman Brothers, Barings Bank, dan pelbagai lagi institusi kewangan boleh bangkrap bukan? Jadi saya hanya gunakan mereka ini sebagai salah satu dari filter sahaja dalam memilih aset/saham untuk dibeli atau dijual. Jangan sesekali masuk ikut mereka membabi buta, kerana mereka pun adakalanya rugi juga.

Hari ini ada tips dari trader Bank of America Merill Lynch, bahawa mereka telah masuk membeli saham VEON. Ianya sebuah syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Belanda dan mempunyai rangkaian pelanggan di Asia, Afrika dan Eropah serta merupakan penyedia rangkaian mudah-alih ke-sembilan terbesar dunia dengan lebih 200 juta pelanggan. Asalnya syarikat ini ditubuhkan di Russia dan kemudiannya berkembang dengan pelbagai pengambilalihan syarikat kecil, lantas menjadikanya lebih besar. Kini ia juga beroperasi di Pakistan dan Bangladesh!

Saham VEON didagangkan di OTC Nasdaq dan juga Euronext; jadi harganya di Nasdaq adalah dalam USD dan dalam EUR di Euronext. Saya gunakan carta USD dan melihat kepada carta mingguan di atas, besar kemungkinan saham ini telahpun membuat wave 1 dan sedang menguji “support turned resistance”. Jadi belian pada harga semasa seakan menempah maut, walaupun harga masih boleh memacu naik; tetapi risiko adalah lebih besar untuk ianya membuat “pullback”.

Rancangan Pelaburan

Inilah yang saya maksudkan pada awal artikel, bahawa kita tidak boleh mengikut bank secara melulu, tetapi mestilah juga boleh menganalisa dan membuat keputusan sendiri dalam melabur mahupun berdagang. Untuk itu, saya tidak akan masuk membeli pada harga semasa, kerana ketika ini pembeli awal mahu menjual untuk mengambil untung dan risikonya lebih tinggi untuk saham ini jatuh.

Melihat kepada carta harian di atas, saya lihat saham ini berpotensi untuk membuat “pullback” ke pivot bulanan yang juga paras breakout bulan Jun, sekitar $2.65 – $2.50 dan itulah paras yang lebih baik untuk membeli pada hemat saya. Jadi buat masa ini, saya meletakkan buy limit dan masukkan saham ini ke dalam watchlist.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.