Ulasan Mingguan

Dengan kebanyakan laporan ekonomi kumpulan matawang negara G8 yang meleset dari jangkaan pada minggu lepas dan hanya laporan perkilangan dan sektor pekerjaan Amerika Syarikat yang mengujakan pasaran; Dolar dijangka akan terus mendapat sokongan belian untuk beberapa minggu yang akan datang, terutamanya dengan sentimen rundingan dagang AS-China yang masih optimis.

Namun begitu, secara keseluruhan (-0.33%) pasaran hadapan masih negatif dengan hanya produk tenaga dan minyak (+1.34%) serta daging (+0.46%) yang mendapat sokongan belian dan yang lainnya masih merudum ketika pasaran menutup selepas cuti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat.

Di pasaran hadapan matawang, kejatuhan diketuai oleh Dolar Australia (-0.82%), Yen (-0.70%) dan Swiss (-0.58%); sementara Dolar AS (+0.58%) dan Peso Mexico (+0.19%) mengetuai permintaan. Walaupun keseluruhan pasaran (-0.33%) negatif, kejatuhan bon/kewangan (-0.65%) dan logam (-1.68%) bersama indeks saham (-0.26%) menunjukkan pasaran yang melakukan “repositioning”.

Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran yang semakin optimis, dengan trend menaik, sepanjang 52 minggu lepas. Pasaran menutup dengan 61 mata pada Jumaat lepas, berbanding 33 mata setahun yang lalu, 29 mata pada sebulan lepas, dan 50 mata pada Jumaat sebelumnya.

Kejutan yang mendorong sokongan belian untuk Dolar AS ialah apabila laporan NFP Amerika Syarikat dilaporkan jauh lebih baik dari jangkaan (224 ribu berbanding 160 ribu) dan sektor perkilangannya juga lebih baik dari jangkaan (51.7 berbanding 51.0 mata); di saat rata-rata laporan ekonomi kumpulan matawang G8 meleset dari jangkaan. Ini sekaligus menambah keraguan terhadap penurunan kadar faedah Feds dan menekan pasaran saham pada awalnya.

Namun begitu, prestasi tahunan pasaran saham rata-rata nampaknya kembali memacu naik ketika sesi Asia hari ini – Nasdaq (+23.88%), ASX (+18.20%), SMI (+18.40%), DAX (+19.03%), S&P500 (+19.29%), TSX (15.49%), Dow (+15.41%), EuroStoxx (+17.54%), FTSE UK (+12.26%) – kecuali HangSeng (+9.37%) dan Nikkei (+7.48%) yang menurun dan KLCI (-0.76%) yang jatuh lebih teruk berbanding minggu lepas.

 

Pandangan Mingguan

Dengan laporan NFP yang mengujakan tetapi disertai dengan peningkatan kadar pengangguran; laporan ekonomi Amerika Syarikat, minit mesyuarat FOMC dan keterangan Pengerusi Feds akan menjadi tumpuan utama pasaran yang mahukan gambaran lebih tepat tentang kedudukan ekonomi AS. Terutamanya selepas pasaran bon terus memberikan gambaran bahawa krisis ekonomi sedang menanti kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

Rundingan dagang AS-China juga akan terus mendapat perhatian pasaran yang mengharapkan kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu akan dapat mencapai kata sepakat dan mengelakkan perang dagang yang boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi global.

Amerika Syarikat & Kanada

Indeks Dolar kini berdepan dengan risiko “pullback” apabila pasaran menyedari bahawa angka NFP yang mengujakan tidak membawa kepada penurunan kadar pengangguran. Malah peningkatan kadar pengangguran itu menunjukkan walaupun terdapat penambahan pekerjaan, jumlah mereka yang hilang pekerjaan secara keseluruhan adalah lebih banyak.

Untuk itu pasaran akan lebih memberikan perhatian kepada laporan kekosongan pekerjaan yang dijangka meningkat dari 7.449 juta kepada 7.51 juta, minit mesyuarat FOMC, dan keterangan Pengerusi Feds kepada kongres Amerika Syarikat. Dalam pada itu, Dolar dijangka kukuh dengan laporan inflasi teras tahunan (2%) dan indeks penurus pembelian (0.1%) yang dijangka stabil.

Ini merupakan minggu yang penting buat Jiran AS, Kanada yang bakal menyaksikan Bank Pusat Kanada mengekalkan kadar faedah pada 1.75%. Laporan dan unjuran dari BoC akan menjadi perhatian utama pasaran yang mahukan pandangan dan jangkaan masa depan untuk matawang komoditi CAD.

Eropah

Eropah sedikit sepi minggu ini dengan hanya laporan minit mesyuarat ECB terbaru yang dijangka akan memacu Euro. Desas-desus pasaran yang mengatakan bahawa Pengerusi IMF, Christine Lagarde bakal menerajui ECB adalah sesuatu yang boleh memberi sentimen positif sekaligus melonjakkan Euro.

Dalam pada itu, UK dijangka akan melaporkan perkembangan ekonomi yang lebih baik dengan KDNK bulanan yang meningkat dari -0.4% kepada 0.3% dan produksi perkilangan yang bertambah dari -3.9% kepada 2.2%. Ini semestinya berita baik untuk Pound yang merudum minggu lepas apabila tiga laporan ekonomi utama UK dilaporkan jauh meleset dari jangkaan.

Asia

Minggu ini dijangka menjadi minggu yang paling sepi untuk Asia dengan hanya laporan inflasi tahunan China yang dijangka stabil pada 2.7% dan ucapan dari Gabenor Bank Pusat New Zealand yang dijangka akan mempengaruhi NZD.

Tiada laporan berimpak tinggi dari Jepun mahupun Australia minggu ini.

Saham

Dengan sentimen pasaran yang semakin optimis, pelabur-pelabur dijangka akan memilih saham-saham yang lebih berisiko dan menawarkan potensi pulangan yang lebih tinggi, terutamanya bagi mereka yang masih belum mencapai sasaran prestasi tahunan.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham-saham Rayonier (RYAM), Realogy (RLGY), Chemours (CC), Apache (APA), Spectrum Brands (SPB), Encana (ECA), ARC Resources (ARX) dan Yirendai (YRD), lantaran ianya mempunyai penilaian harga yang menarik.

Untuk pelabur UK dan Eropah pula, saham-saham seperti AA PLC (AAI), Duerr AG (DUEG), Pier1 Imports (PJ1A), OHL (OHL), Atresmedia (A3M), Azkoyen (AZK), TP Group (TPG), dan Pebble Beach (PEB) boleh memberikan peluang yang sama.

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand boleh melihat kedalam saham-saham seperti Webjet (WEB), Pepper Food (3053), Future Land (601155), Happigo Home (300413), Jiangsu Sanyou (002044), Luxin Packing (002565), Launch Tech (2488), Lotte Chemical (FPNI), Timah Persero (TINS), Reliance Capital (RLCP), HEG (HEGL), Jain Irrigation (JAIR), Man Infraconstruction (MANI), Karnataka Bank (KBNK), HKI (219550), Atinum (021080) dan Mega Study (215200) yang juga menawarkan peluang yang sama.

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.