Ulasan Mingguan

Tindakan spekulator yang masih membeli Yen, seperti yang ditunjukkan oleh laporan komitmen trader sehingga 4 Jun, memberi isyarat bahawa pasaran tidak melihat lonjakan pasaran saham pada minggu lepas sebagai satu fasa pemulihan; melainkan ianya hanya sementara dalam aktiviti mengambil untung jualan. Walaupun Presiden AS, Donald Trump berkali-kali mengesahkan bahawa beliau akan bertemu dengan Presiden China, Xi Ping pada perhimpunan G20 hujung bulan ini, ianya masih belum disahkan oleh pemimpin China tersebut.

Namun demikian pasaran melihat perkembangan tersebut sebagai positif, dengan tenaga (+1.34%) memacu naik, diikuti oleh indeks saham (+1.12%), dan matawang (+0.33%); sementara daging (-1.33%), bijirin (-1.01%) dan barangan lembut (-0.68%) ketinggalan. Sentimen ini jelas apabila bon/kewangan (+0.33%) masih mendapat permintaan pada Jumaat lepas.

Di pasaran hadapan matawang pula, semua matawang berada dalam positif kecuali Dolar AS. Permintaan diketuai oleh Dolar Kanada (+0.71%), Euro (+0.58%) dan Swiss (+0.44%).

Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan pemulihan, naik daripada 24 mata pada seminggu yang lalu kepada 32 mata pada Jumaat lepas; walaupun ianya masih lebih lemah daripada 42 mata pada sebulan yang lalu.

Kejutan utama minggu lepas adalah laporan NFP yang jauh meleset dari jangkaan, walaupun penangguran dilaporkan stabil pada 3.6%. Sektor pekerjaan bukan perladangan (NFP) dilaporkan hanya menambah 75 ribu pekerjaan berbanding 185 ribu jangkaan. Malah angka sebelumnya juga disemak turun dari 263 ribu kepada 224 ribu pekerjaan. Tambah melemahkan Dolar, apabila purata pendapatan sejam pada asas tahunan, yang dijangka stabil pada 3.2%; juga menurun dari 3.2% kepada 3.1%.

Ini menyebabkan pasaran menaikkan kebarangkalian untuk Federal Reserve AS menurunkan kadar sebanyak dua kali pada tahun ini, dan ini dijangka akan melemahkan Dolar AS, walaupun masih terdapat permintaan kesan dari pembelian bon kerajaan AS dan pengambilan untung di pasaran saham.

Sehingga Jumaat lepas, pasaran saham sedikit naik kesan dari pengambilan untung jualan – SMI (+2.94%), KLCI (+2.81%), FTSE UK (+2.25%), ASX (+2.11%), EuroStoxx (+0.52%), dan Dow (+0.16%) – sementara DAX (-0.12%), S&P500 (-0.28%), TSX (-0.41%), Nikkei (-0.99%), Nasdaq (-2.23%) dan HangSeng (-3.40%) masih terkapai-kapai untuk pulih.

 

Pandangan Mingguan

Minggu “rebound” dalam fasa mengambil untung jualan dan menutup posisi bagi mereka yang kerugian dalam pasaran saham telah pun bermula; dan berita bahawa cukai atas barangan impot Mexico telah ditarik balik dijangka menjadi pemangkin untuk pasaran saham terus memacu naik. Namun begitu, dengan kedudukan lapan trader terbesar di CME yang terus “net short” indeks S&P500 dengan lebihan jualan sebanyak 162,847 kontrak sehingga 4 Jun lepas; memberikan isyarat bahawa mereka akan menggunakan sebarang lonjakan untuk menjual.

Pasaran kini menjangkakan Feds AS terpaksa menurunkan kadar faedah sebanyak dua kali – satu seawal Julai ini (kini 80% dan sebelumnya 56% kebarangkalian) dan satu lagi pada Disember (kini 84% dan sebelumnya 73% kebarangkalian) – bagi menahan kejatuhan ekonomi AS yang lebih teruk. Angka-angka laporan ekonomi dari industri, perkilangan, perkhidmatan, jualan, sektor pekerjaan dan inflasi akan menjadi perhatian utama pasaran. Aset “safe-haven” dan saham-saham defensif dijangka akan terus mendapat permintaan, disamping pelaburan alternatif – matawang krypto.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS dijangka akan membuat “rebound” dalam proses pengambilan untung jualan dan paras 97.50 mata dilihat akan menjadi tarikan untuk pelabur menjual semula Dolar. Walaupun kini pasaran menjangkakan dua penurunan kadar faedah, Dolar dijangka kembali kukuh lantaran inflasi teras yang dijangka stabil pada 2.1% dan jualan runcit yang dijangka meningkat dari -0.2% kepada 0.6%. Namun demikian, inflasi tahunan yang dijangka turun dari 2% kepada 1.9% dan laporan sentimen pengguna yang dijangka turun dari 100 kepada 96 mata serta sentimen penurunan kadar faedah dilihat akan mengekang Dolar AS.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Kanada minggu ini beserta dengan kejatuhan harga minyak dijangka akan melemahkan CAD.

Eropah

Eropah membuka minggu dengan Pound yang lemah, apabila laporan KDNK tahunan UK dilaporkan merosot dari 1.8% kepada 1.3% disamping produksi perkilangan yang jatuh lebih teruk dari jangkaan (-3.9% berbanding -1.1% jangkaan). Pound dijangka terus lemah lantaran purata indeks pendapatan yang dijangka turun dari 3.2% kepada 2.9%; walaupun tuntutan bantuan pengangguran dijangka lebih rendah. Dijangkakan 22,900 tuntutan untuk bulan Mei berbanding 24,700 pada bulan April.

Gabenor Bank of England, Mark Carney dan juga Presiden ECB, Mario Draghi dijadualkan berucap pada minggu ini dan semestinya pasaran bakal mmberikan perhatian tentang komen mereka terhadap prestasi ekonomi Eropah dan UK pasca Brexit.

Ini juga merupakan minggu yang penting buat CHF, lantaran Bank Pusat Switzerland, SNB yang akan menentukan arah polisi kewangan selanjutnya. SNB dijangka mengekalkan polisi kewangan semasa dengan rancangan melemahkan CHF, walaupun ini seakan tidak dapat dipercayai pasaran selepas SNB melepaskan sokongan untuk EUR pada Januari 2015.

Asia

Asia membuka minggu dengan laporan KDNK Jepun yang dilaporkan lebih baik, naik dari 0.5% kepada 0.6%, dan pasaran hanya menjangkakan ianya stabil pada 0.5% sahaja.

Sektor pekerjaan Australia dijangka lemah dengan hanya menambah 16 ribu pekerjaan berbanding 28,400 pekerjaan sebelum ini dan ini dilihat bakal mendorong jualan untuk AUD; walaupun produksi industri China yang merupakan rakan dagang terbesar Australia, dijangka sedikit baik, naik dari 5.4% kepada 5.5%

Tiada laporan berimpak tinggi dari New Zealand minggu ini.

Saham

Musim laporan kewangan suku pertama telah pun berakhir dan pelabur-pelabur dilihat akan mula mencari saham-saham defensif yang menawarkan pulangan dividen tinggi untuk menghadapi pasaran saham yang dijangka semakin lemah.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham-saham Sanchez Midstream (SNMP), Washington Prime (WPG), Telecom Argentina (TEO), India Closed Fund (IFN), Mesabi Trust (MSB), EQT Midstream (EQM), American Hotel Income Properties (HOT) dan Pivot Technology (PTG), lantaran ianya menawarkan pulangan dividen tahunan lebih 10%.

Untuk pelabur UK dan Eropah pula, pulangan dividen tahunan lebih 10% boleh didapati melalui saham-saham seperti Capital Regional (CALI), Tessi (TESI), Rallye (GENC), Netgem (ETGM), Mercialys (MERY), Union Financiere (UFFP), Eisen Huettenwerke (EISG), dan Mueller Logistik (MLLG).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New ZealandĀ boleh melihat kedalam saham-saham seperti Prime Financial Group (PFG), Landmark White (LMW), Shriro Holdings (SHM), ProPac Packaging (PPG), Prospect (3528), Le Saunda (0738), Wisdom Sports (1661), Zuoli Kechuang (6866), Tomson (0258), PC Partner (1263), Alco (0328), Star Media (6084), JCY International (5161), Focus Lumber (5197), SHL Consolidated (6017), Merck (MERK), Mitrabara Adiperdana (MBAP), Indo Tambangraya (ITMG), RHT Health Trust (RHTH), Oneapex (ONEA), Asian PayTV (ASIA) dan Far East Group (FAEA) yang juga menawarkan pulangan dividen tahunan melebihi 10%.

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.