Berikut adalah laporan sentimen harian sepanjang minggu ke-lapanbelas 2019 yang lepas.

Jumaat, 3 Mei 2019.

BUY GBP JPY NZD CAD CHF USD AUD EUR SELL

Khamis, 2 Mei 2019.

BUY USD JPY GBP CHF EUR CAD NZD AUD SELL

Rabu, 1 Mei2019.

BUY GBP CHF CAD USD JPY EUR AUD NZD SELL

Selasa, 30 April 2019:

BUY GBP EUR CAD JPY CHF AUD USD NZD SELL

Isnin, 29 April 2019:

BUY EUR AUD GBP CAD USD NZD JPY CHF SELL

 

Ulasan Mingguan

Pasaran nampaknya mula skeptikal dengan masa depan ekonomi global apabila USD dan CHF lebih banyak dijual, dan JPY serta logam berharga lebih banyak dibeli sepanjang minggu lepas. FOMC yang optimis menyaksikan indeks Dolar melonjak kembali ke paras 98 mata sebelum merudum di bawah 97.50 mata, walaupun angka sektor pekerjaan Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan yang mengujakan.

Namun begitu, penjualan USD adalah normal dan bersifat mengambil untung selepas pembelian berterusan selama tiga bulan yang lepas. USD dijangka akan terus mendapat sokongan sekiranya laporan ekonomi AS terus menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang baik, terutamanya kesan dari kenaikan pasaran saham.

EUR dan GBP kini bertukar nasib berbanding minggu ke-17. EUR kini lebih banyak dijual dan GBP terus dibeli sepanjang minggu lepas, apabila sentimen pasaran berubah selepas terdapat perkembangan positif tentang isu Brexit. Namun begitu, beberapa bank utama dilihat mula menaruh minat untuk membeli EUR, selepas desas-desus pasaran bahawa pengganti Presiden Mario Draghi dikatakan adalah seorang yang lebih optimis dan percaya dengan kenaikan kadar faedah yang berkala.

Dalam pada itu matawang komoditi AUD dan NZD lebih banyak dijual sepanjang minggu, selepas pasaran bersiap-siap untuk keputusan mesyuarat kadar Bank Pusat Australia dan New Zealand pada minggu ini. Terdapat desas-desus pasaran bahawa RBNZ akan menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas, dan sekiranya ini tidak benar, ia dijangka akan kembali melonjakkan NZD di atas paras 0.67.

Matawang komoditi minyak mentah CAD, lebih banyak dibeli minggu lepas; selepas Gabenor Bank Pusat Kanada, Stephen Poloz mengatakan bahawa penurunan jangkaan perkembangan ekonomi Kanada dari 1.7% kepada 1.2% untuk 2019, adalah bersifat sementara dan boleh berubah pada bila-bila masa, sekiranya terdapat tanda dan bukti yang ianya semakin baik. Kenyataan beliau itu meneutralkan sentimen pesimis terhadap CAD pada minggu sebelumnya, apabila Bank Pusat Kanada mengekalkan kadar faedah.

Minyak mentah meneruskan sentimen jualan untuk minggu kedua selepas Presiden Trump mengarahkan OPEC menurunkan harga dan net volume belian sebanyak 7.67 juta kontrak pada minggu ke-17 kini telah berubah kepada net volume jualan sebanyak 2.17 juta kontrak pada Jumaat lepas. Minyak dijangka akan terus tertekan dengan keputusan OPEC untuk mengekalkan produksi semasa walaupun sekatan terhadap minyak Iran pada awalnya melonjakkan minyak ke paras tertinggi sekitar $66.50 setong untuk tahun ini.

Logam berharga emas terumbang-ambing minggu lepas, setelah sentimen Dolar yang optimis menyebabkan logam berharga itu merudum ke paras terendah tahun ini sekitar $1,266.35 sebelum ia dibida semula pada hari Jumaat. Namun begitu, minggu lepas menyaksikan net volume belian sebanyak 1.17 juta kontrak bertukar kepada net volume jualan sebanyak 813 ribu kontrak. Sentimen risiko yang semakin pulih dan komen Rumah Putih tentang rundingan dagang AS-China yang terus menerus positif, dijangka akan terus menekan harga emas.

 

Ulasan Matawang Utama

EUR/USD: Euro cuba kembali di atas paras 1.1250 minggu lepas, apabila inflasi Jerman dilaporkan lebih tinggi dari jangkaan, 2% berbanding 1.6%; namun gagal selepas sentimen optimis FOMC mendorong bidaan untuk Dolar dan terus menekan ia di bawah paras 1.12.

Laporan komitmen trader sehingga Selasa lepas, menunjukkan spekulator terus menjual, sebanyak 126 kontrak; sekaligus meningkatkan net volume jualan kepada 105,544 kontrak. Euro dijangka akan terus berada dalam fasa “short-covering” untuk beberapa minggu yang akan datang, dan mendapat sokongan belian melalui EUR/CHF oleh MorganStanley. Natixis telah pun mencapai sasaran 1.1475 pada minggu ke-17.

GBP/USD: Morgan Stanley teguh di belakang Pound, terus membida setelah isu Brexit mendapat perkembangan positif Jumaat lepas dan trader bersedia untuk laporan KDNK UK yang dijangka lebih baik dari sebelumnya. KDNK tahunan dijangka berkembang 0.4%, daripada 1.4% kepada 1.8%, sementara KDNK suku pertama dijangka berkembang daripada 0.2% kepada 0.5%.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator terus menjual sebanyak 2,833 kontrak; sekaligus menambah net volume jualan kepada 4,668. ScotiaBank telahpun mengambil 1/2 untung dan 1/2 lagi hanya “breakeven” dalam jualan GBP/CAD.

AUD/USD:  Aussie terus tertekan sepanjang minggu lepas dan membuka dengan “gap down” minggu ini, apabila Presiden Trump diberitakan akan mengenakan cukai yang baru atas barangan China, apabila rundingan mencapai jalan buntu minggu lepas.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator terus menjual sebanyak 8,556 kontrak; sekaligus meningkatkan net volume jualan kepada 59,005 kontrak. Sehingga Jumaat lepas, rancangan jualan Citibank dan belian AUD/CAD GoldmanSachs yang telah mencapai sasaran pertama masih aktif.

USD/JPY: Dolar/Yen terus tertekan sepanjang minggu lepas apabila pelabur terus membuat imbangan risiko dan membuka dengan “gap down” minggu ini apabila ketegangan dalam rundingan dagang AS-China menyebabkan pelabur kembali membida Yen. NFP dan Feds yang optimis minggu lepas juga gagal melonjakkan Dolar.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator terus menjual Yen sebanyak 5,185 kontrak; sekaligus meningkatkan net volume jualan JPY kepada 99,599 kontrak. Rancangan belian UBS telah pun mengenai “stop loss” dan jualan Citibank masih aktif.

USD/CHF: Dolar/Swiss kini berada pada persimpangan campur tangan SNB, sama ada ia akan benar-benar terus menjual CHF ataupun sekadar retorik yang tiada tindakan susulan. Dengan kadar faedah CHF yang negatif, pembeliannya hanyalah untuk tujuan domestik dan imbangan risiko sahaja. Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator terus menjual CHF, sebanyak 2,210 kontrak; sekaligus meningkatkan net volume jualan CHF kepada 39,746 kontrak.

USD/CAD: Dolar/CAD terumbang-ambing minggu lepas, apabila Gabenor Poloz memberikan komen bahawa penurunan jangkaan ekonomi untuk 2019 hanyalah bersifat sementara dan itu menyokong CAD. Sebelum daripada itu penurunan jangkaan tersebut terus menekan CAD. Dengan kejatuhan harga minyak baru-baru ini, CAD dilihat akan terus tertekan terutamanya dengan Kanada yang bakal menghadapi pilihanraya umum pada Oktober ini.

Laporan komitmen trader menunjukkan spekulator membeli sebanyak 748 kontrak; sekaligus mengurangkan net volume jualan CAD kepada 46,745 kontrak. Sehingga Jumaat lepas GoldmanSachs masih mengekalkan rancangan beliannya yang kini mencari sasaran kedua. Sasaran pertama telah dicapai pada minggu ke-17.

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Analisa sentimen hanyalah satu dari tiga analisa utama dalam membuat keputusan dagangan. Trader dinasihatkan untuk melihat juga analisa fundamental dan teknikal sebelum berdagang. Baca lebih lanjut tentang analisa sentimen dan bagaimana menggunakannya disini.