Ulasan Mingguan

Pasaran hadapan kembali skeptikal minggu lepas apabila logam (+1.63%) mendahului permintaan di samping indeks saham (+1.28%) dan matawang (+0.37%); sementara daging (-0.07%), tenaga (-0.09%) dan barangan lembut (-0.28%) ketinggalan. Pasaran dilihat membuat lebih banyak imbangan risiko dengan pembelian bon/kewangan (+0.15%) di samping indeks saham (+1.28%) dan logam (+1.63%).

Pasaran yang skeptikal ini jelas apabila Pound British (+1.05%) mendahului permintaan di pasaran matawang, namun pasaran terus mengambil risiko dengan peralihan modal ke negara membangun, apabila Peso Mexico (+0.92%) dibeli di samping “safe-haven” Yen (+0.36%). Matawang “safe-haven” Dolar AS (-0.33%) hilang permintaan, walaupun Swiss (+0.18%) mendapat sedikit permintaan, tatkala pasaran menutup Jumaat lalu.

Sentimen risiko yang goyah ini tercermin pada indeks “CNN Fear & Greed” yang kini menuju trend menurun, dengan 62 mata pada sebulan yang lepas, naik kepada 72 seminggu yang lalu dan turun kepada 60 mata pada Jumaat lepas.

Terdapat tiga kejutan negatif minggu lepas yang menyebabkan sentimen pasaran goyah dan membuat lebih banyak imbangan risiko. 1) indeks pembuatan China yang lebih lemah (kini 50.2 mata, sebelumnya 50.8 dan jangkaan pasaran ialah 51 mata) 2) indeks pembuatan AS yang juga lebih lemah (kini 52.8 mata, sebelumnya 55.3 dan jangkaan pasaran ialah 55 mata) 3) pengumuman Presiden Trump tentang cukai baru atas China pada hujung minggu yang menyebabkan Yen mendapat lonjakan (pasangan matawang Yen membuka dengan “gap-down”).

Laporan NFP dan komen Feds yang optimis pada hari Jumaat gagal melonjakkan Dolar, dan ini memberi petanda bahawa terdapat pemain pasaran yang telah pun mengetahui bahawa sentimen risiko pasaran akan menjadi hambar minggu ini. Keadaan ini menyebabkan pelabur pasaran saham menjauhkan modal dan indeks-indeks negara maju turun lebih jauh untuk bulan ini – DAX (+1.77%), EuroStoxx (-0.06%), Dow (+0.30%), FTSE UK (-0.89%), TSX (+0.60%), SMI (+0.79%), Nikkei (+2.07%), Nasdaq (+3.52%) dan S&P500 (1.83%). Malah kini indeks volatiliti, VIX, yang mengukur sentimen pasaran naik lebih 40% apabila pasaran dibuka minggu ini.

 

Pandangan Mingguan

Kegagalan angka NFP yang mengujakan dan komen pegawai Feds yang optimis dalam melonjakkan Dolar pada hari Jumaat, seharusnya menjadi petanda bahawa terdapat pemain pasaran yang telah mengetahui bahawa Presiden Trump akan mengumumkan sesuatu yang negatif kepada pasaran. Pembelian lebih banyak logam (1.63% vs 1.37%) juga seharusnya memberi klue bahawa sentimen risiko semakin hambar.

Pasaran kini seolah rasa tertipu apabila semua komen positif tentang rundingan dagang AS-China selama ini, akhirnya ditutup dengan komen negatif. Mungkin selama ini, rundingan dagang tidaklah sebaik mana, namun telah dimanipulasikan untuk mengaut keuntungan pasaran. Keadaan ini dijangka akan mendorong pelabur kembali membeli bon dan logam berharga seperti emas dan perak.

Amerika Syarikat & Kanada

Indeks Dolar membuat “pullback” ke paras 97.50/80 seperti yang dijangkakan dan keadaan “oversold” di carta harian dijangka akan mendorong lantunan ke paras tertinggi minggu lepas, sekitar 98 mata, sebelum Dolar kembali mendapat tekanan, sekiranya laporan ekonomi AS tidak seperti yang diharapkan pada minggu ini.

Rundingan AS-China semestinya akan terus mendapat perhatian, terutamanya selepas Presiden Trump membuat kejutan pada hujung minggu. Minggu yang sedikit sepi untuk AS dengan hanya beberapa laporan ekonomi berimpak tinggi – defisit dagangan yang dijangka bertambah dari $49.4 bilion kepada $51.4 bilion, inflasi tahunan yang dijangka naik dari 1.9% kepada 2.1%, dan peluang pekerjaan yang dijangka meningkat dari 7.087 juta kepada 7.350 juta kekosongan. Di samping itu, ucapan Pengerusi Feds pada hari Khamis, juga dijangka akan menarik perhatian pasaran.

Jiran AS, Kanada pula bakal melaporkan indeks pengurus pembelian yang dijangka menurun dari 54.3 kepada 51.1 mata, defisit dagangan yang dijangka menurun dari C$2.9 bilion kepada C$2.3 bilion, dan sektor pekerjaan yang dijangka menambah sebanyak 15 ribu jawatan berbanding pengurangan sebanyak 7,200 sebelum ini. Gabenor Poloz bakal membuka minggu dengan ucapan beliau yang dijangka akan melemahkan CAD.

Eropah

Satu lagi minggu yang penting buat UK dengan laporan KDNK tahunan yang dijangka meningkat dari 1.4% kepada 1.8% dan indeks pengeluaran yang dijangka menurun dari 0.9% kepada 0.1% disamping isu Brexit yang boleh mengejutkan pasaran. Dalam pada itu, minit mesyuarat ECB dan ucapan Presiden Mario Draghi akan menjadi tumpuan pelabur di Eropah.

Kekurangan laporan ekonomi berimpak tinggi dari Eropah dan UK minggu ini, dijangka akan menyebabkan EUR dan GBP dijual, terutamanya dengan AUD dan NZD yang menghadapi keputusan mesyuarat kadar faedah RBA dan RBNZ minggu ini.

Asia

Asia membuka minggu dengan laporan lebihan dagangan Australia yang dijangka menurun dari A$4.80 bilion kepada A$4.25 bilion. Kemudian China pula bakal melaporkan lebihan dagangan yang dijangka meningkat dari $32.67 bilion kepada $35 bilion, ekspot tahunan yang dijangka menurun dari 14.2% kepada 2.3% dan impot yang dijangka berkurang dari 7.6% kepada 3.6%. China juga bakal melaporkan inflasi tahunan yang dijangka meningkat dari 2.3% kepada 2.5%.

Minggu yang penting buat Australia dan New Zealand yang bakal berdepan dengan keputusan mesyuarat kadar faedah. Bank Pusat New Zealand, RBNZ dijangka menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas dan sekiranya ini tidak berlaku, NZD dijangka akan kembali dibida. Bank Pusat Australia, RBA pula dijangka akan mengekalkan kadar semasa dan kenyataan polisi kewangan pada hari Jumaat dijangka akan menarik perhatian pelabur.

Saham

Musim laporan kewangan suku pertama diteruskan dan pelabur-pelabur dijangka akan memberikan tumpuan kepada syarikat-syarikat berikut yang antaranya bakal melaporkan prestasi kewangan mereka minggu ini:

Occidental (OXY), AIG (AIG), Allergan (AGN), Emerson (EMR), Walt Disney (DIS), Thomson Reuters (TRI), Marathon Petroluem (MPC), Booking (BKNG), Brookfield Asset (BAMa), Becton Dickinson (BDX), Canadian Natural (CNQ), Nutrien (NTR), Kuerig Dr Pepper (KDP), Enbridge (ENB), Marriot International (MAR), dan JD Com (JD) – untuk bursa Amerika Syarikat dan Kanada.

Essilort Luxottica (ESLX), Intesa Sanpaolo (ISP), Ferrari (RACE), Enel (ENEI), Unicredit (CRDI), BT Group (BTI), dan Telefonica (TEF) – untuk bursa UK dan Eropah.

Ekovest (8877), Iskandar Waterfront (1589), MyEG (0138), JAKS Resources (4723), WestPac Bank (WBC), Telestra (TLS), Sydney Airport (SYD), Westfarmers (WES), Samudera Indonesia (SMDR), Pelayaran Tempuran (TMAS), Telekomunikasi (TLKM), Bank Negara Indonesia (BBNI), Gudang Garam (GGRM), Citic Pacific (0267), CLP Holdings (0002), HKEX (0388), KangWon Land (035250), SK Telecom (017670), GS Holdings (078930), dan Lotte Shopping (023530) – untuk bursa Asia, termasuk Australia dan New Zealand.

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.