Dalam satu keputusan yang sudah dijangka malam semalam, parlimen Britain mengundi untuk PM Theresa May kembali ke Brussels bagi mendapatkan terma lebih baik berkenaan sempadan Ireland. Parlimen juga tidak menyokong UK keluar dari Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian. Pound jatuh lebih 120 pips ke paras terendah sekitar 1.3055 dalam masa 8 jam selepas keputusan tersebut. Kejatuhan itu juga dipengaruhi oleh kegiatan mengambil untung belian.

Dalam satu perkembangan lain, Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker, dan Presiden Kounsel Eropah, Donald Tusk dan beberapa lagi pegawai Kesatuan Eropah telah tegas mengatakan bahawa Kesatuan Eropah (EU) tidak akan berunding semula terma perjanjian yang telah dipersetujui pada tahun lepas. Menurut mereka, terma tersebut adalah yang terbaik boleh diberikan kepada United Kingdom dan ianya telah pun dipersetujui tahun lepas.

Saya melihat isu Brexit ini seakan sudah basi. EU bertegas dengan pendiriannya dan UK telah pun bersetuju dengan terma tersebut sebelum ini. Jadi apa lagi yang dimahukan oleh menteri-menteri UK? Mereka risau dengan sempadan Ireland dan Ireland Utara yang mungkin terpaksa dibina kesan dari perpisahan ini; tetapi itulah antara kos yang terpaksa dibayar untuk keputusan keluar dari EU yang seharusnya difahami oleh rakyat Britain.

Rancangan Dagangan

Pound telah pun mencapai sasaran pertama dalam rancangan sebelum ini. Dengan perkembangan terbaru ini, dimana PM May terpaksa ke Brussel semula untuk berunding dan EU telah pun bertegas dengan keputusannya; saya melihat kemungkinan besar Pound akan menutup dibawah 1.3150 minggu ini dan seterusnya menguji paras 1.2980; dan boleh mencapai serendah 1.2760, walaupun itu agak tipis, sebelum undian seterusnya pada 13 Februari.

Namun dengan mesyuarat kadar FOMC hari ini, dengan jangkaan Feds akan merehatkan kenaikan kadar sehingga Jun, ada juga kemungkinan Pound akan terus memacu naik atas kelemahan Dolar. Pacuan ke paras 1.3250/80 dan seterusnya 1.3400/20 tidaklah mustahil sekiranya ia boleh memecah paras 1.3230 walaupun terdapat minat jualan yang besar disitu.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.