Ulasan Mingguan

Pasaran niaga hadapan meneruskan penurunan pada minggu lepas, turun 0.62% pada hari Jumaat, dengan tenaga (+1.06%) mengetuai kompleks dagangan, sementara yang lain semuanya merudum. Indeks saham (-2.91%) dan logam (-1.12%) mengalami prestasi terburuk minggu lepas, selepas sentimen risiko terus mundur apabila Federal Reserve Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah semasa dan mengurangkan jumlah jangkaan kenaikan kadar tahun depan, sambil memetik risiko kelembapan ekonomi global sebagai puncanya.

Niaga hadapan matawang menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk Dolar Amerika (+0.76%) dan yang lain semuanya lemah, dengan Euro (-0.92%) dan Dollar Australia (-1.05%) mengalami prestasi terburuk. Selepas panik pada minggu ke 50, minggu ke 51 yang lepas menunjukkan modal sedang beralih arah, ekoran tenaga (+1.06%) yang mendapat permintaan tinggi di saat indeks saham (-2.91%) dan logam (-1.12%) mengalami kejatuhan.

Sentimen pelabur yang diukur oleh CNN Fear & Greed Index, menunjukkan pasaran yang terus panik, apabila skor Indeks CNN itu menunjukkan penurunan dari 13 ke 8 ke 5 dan akhirnya 3 mata sahaja Jumaat lepas. Kenyataan Feds AS selepas menaikkan kadar, bahawa risiko kelembapan ekonomi global mendorong Bank Pusat AS itu menurunkan jumlah kenaikan kadar pada tahun depan, dan kemungkinan tiada kenaikan kadar sekiranya ekonomi terus buruk, amat merisaukan pasaran.

Kenaikan kadar Feds itu memang telah dijangka, namun pengurangan jumlah kenaikan pada tahun depan menyebabkan pembeli Dolar membuat penyelarasan semula kedudukan mereka. Sebelum itu, ucapan Presiden China Xi-Ping yang tegas dan penuh makna melonjakkan permintaan untuk Yuan, apabila beliau berkata China tidak akan mengorbankan ekonomi rakyatnya dan membiarkan syarikat gergasi asing mengaut keuntungan.

Dalam mesyuarat kadar minggu lepas, BoE dan BoJ mengekalkan polisi kewangan masing-masing dan ini tidak banyak mempengaruhi pergerakan Pound dan Yen, ekoran Pound yang masih dihantui isu Brexit. Yen pula hanya mendapat permintaan kesan dari sentimen risiko yang semakin pudar; sekaligus meningkatkan permintaan untuk logam berharga, emas. Pasaran yang semakin risau dengan isu kelembapan global, kini mula membida emas dan Dolar yang menawarkan pulangan kadar yang tertinggi di kalangan matawang G8.

Dalam satu laporan lain, Itali diberitakan akhirnya akur dengan arahan Suruhanjaya Eropah yang mahukan negara tersebut mengurangkan defisit belanjawannya, sebelum ia menerima bantuan kewangan. Ini sekaligus memacu permintaan untuk Euro yang juga disokong oleh pembelian dua bank utama – Morgan Stanley dan Goldman Sachs. Laporan kemungkinan penutupan beberapa agensi AS, ekoran belanjawan yang masih belum diluluskan senat, juga sedikit sebanyak melemahkan Dolar.

Antara lain yang menarik perhatian pelabur minggu lepas, adalah laporan KDNK New Zealand dan arahan RBNZ yang mahukan bank-bank negara burung kiwi itu menambah nisbah modal atas aset. Kenaikan hampir sekali ganda dari 8.5% kepada 16%, dilihat akan memaksa RBNZ untuk menurunkan kadar faedahnya yang ketika ini sama dengan Bank Pusat Kanada, 1.75%; bagi membantu bank-bank negara tersebut mematuhi arahan itu.

Pandangan Mingguan

Ketika ini pasaran masih menghadam kenaikan kadar Feds AS dan kenyataan Pengerusinya Jerome Powell. Ada desas-desus yang mengatakan Presiden Trump bakal memecat beliau ekoran tindakan tegasnya yang mahu terus naikkan kadar faedah AS. Kenaikan kadar faedah akan membebankan pelabur dan perniagaan yang banyak menggunakan hutang dalam operasi mereka. Keadaan ini juga yang telah menyebabkan pasaran saham AS terus merudum.

Tidak banyak yang bakal dilaporkan minggu ini, lantaran pasaran utama yang bercuti sehingga Rabu bagi menyambut hari Natal. Hanya data berimpak tinggi dari Amerika Syarikat yang bakal melaporkan keyakinan pengguna yang dijangka menurun dari 135.7 kepada 133.7 mata. Jualan rumah AS dijangka meningkat dengan rumah baru sebanyak 562 ribu unit berbanding 544 ribu sebelum ini. Rumah sedia ada juga dijangka meningkat dari -2.6% kepada 0.5%, kenaikan sebanyak 3.1%.

Antara lain yang bakal menjadi perhatian pelabur ialah penutupan beberapa agensi persekutuan AS, kesan dari belanjawan yang masih belum diluluskan senat. Permintaan Presiden Trump sebanyak US$ 5 bilion bagi membina tembok sempadan AS-Mexico dilihat tidak munasabah dan tidak praktikal serta membazir oleh majoriti senator. Walaupun Trump adalah Republikan dan Republikan menguasai senat, majoriti senator tidak bersetuju dengan rancangan Presiden AS itu.

Pelabur saham Asia mungkin berminat dengan syarikat Jepun JFront Retail (3086) dan Takashimaya (8233) yang bakal melaporkan pendapatan mereka minggu ini; namun pasaran dijangka tipis dan terus tipis sepanjang minggu ini dan minggu depan, sempena hari Natal dan Tahun Baru 2019.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti dan jumpa lagi tahun depan. Semoga dagangan anda terus menguntungkan!

NOTA:

Untuk minggu ini dan minggu depan, saya hanya akan menulis sekiranya ada berita sensasi dan gossip yang boleh menggemparkan pasaran, selain dari kedudukan dan dagangan bank sekiranya ada. Laporan sentimen harian akan berjalan seperti biasa.

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.