Setiap hari ada sahaja cerita baru dalam pasaran. Soalnya sama ada cerita tersebut adalah suatu yang boleh kita ambil tindakan atau tidak. Dari cerita perang dagang AS-China, eksekutif syarikat China ditahan, pegawai Kanada ditahan, setiausaha pertahanan AS berhenti kerja, tentera AS di Iran dipanggil balik dan macam-macam lagi cerita berada dalam dunia kewangan. Adakalanya lebih teruk dari gossip dunia artis!

Itu belum lagi gossip data ekonomi, sehingga data ekonomi pun ada yang ambil kesempatan untuk berjudi! tapi tidaklah serius. Taruhannya pun sekadar belanja minum sekiranya kalah. Bercerita pasal data ekonomi, antara data ekonomi yang menarik perhatian dealer baru-baru ini ialah data KDNK New Zealand. KDNK negara burung kiwi itu dijangka melemah dari 1% kepada 0.6% dan memang kami telah saksikan jualan sejak awal bulan lagi. Data yang disiarkan semalam, sangat mengecewakan iaitu 0.3% dan Kiwi terus merudum lebih 100 pips dalam masa 12 jam sahaja.

Tetapi apa yang menarik bukanlah data yang mengecewakan itu. Tetapi kenyataan RBNZ sehari sebelumnya yang mahukan bank-bank New Zealand meningkatkan modal mereka sekali ganda. Menurut beberapa rakan pakar ekonomi, ketika ini RBNZ hanya meletakkan nisbah modal atas aset sebanyak 8.5% sahaja. Dalam arahan terbaru kelmarin, RBNZ mahukan nisbah lebih tinggi sebanyak 16%.

Kenaikan nisbah ini akan membebankan bank dalam mencari modal dan ramai penganalisis berpendapat RBNZ akan menurunkan kadar faedah bagi membantu bank-bank memenuhi keperluan tersebut. Pasaran bon nampaknya bersetuju dengan tesis ini, apabila pulangan bon 10 tahun New Zealand membuka dengan “gap down” hari ini.

Rancangan Dagangan

Sekiranya andaian ini benar, maka saya melihat kadar tukaran NZD/USD boleh turun ke serendah 61 sen US dalam masa 4-5 bulan. Dengan nilai semasa sekitar 0.6750 ketika artikel ini ditulis, yang sudahpun berada di bawah pivot bulanan dan mingguan, maka saya membuka 1/3 kedudukan untuk tidak ketinggalan “bas”. Ada kemungkinan harga akan melonjak kembali ke paras 0.6850/80 atas dasar teknikal dan saya akan menambah lagi 2/3 disitu. “Stop loss” saya adalah sekitar 70 sen US, sasaran pertama sekitar 0.6450 dan kedua adalah 0.6100.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.