Bank Pusat Jepun, BoJ dalam keputusan mesyuarat kadar yang terakhir untuk tahun ini mengekalkan polisi kewangannya dengan kadar faedah 0.1% di bawah sifar dan kadar 10 tahun bon kerajaan Jepun (JGB) pada 0%. Dengan kata lain, semua dana institusi kewangan Jepun yang tersimpan di BoJ akan dikenakan kos menyimpan sebanyak 0.1% setahun dan pinjaman berjangka 10 tahun adalah secara “Qard-Al-Hassan”, yakni tiada sebarang faedah dikenakan.

Ini menyebabkan pasaran bon Jepun terus diburu pelabur dan institusi yang memerlukan dana untuk menampung kos pelaburan mereka, sama ada dalam pasaran kewangan, mahupun dalam perniagaan. BoJ kini dalam dilema kerana dasar ini menyebabkan insitusi kewangan Jepun kehilangan pendapatan lantaran kadar faedah sifar dan inflasi yang diharap meningkat, kesan dari program ransangan ini, nampaknya masih lemah. Dalam laporan terbaru, inflasi Jepun masih berada dibawah sasaran 2%.

Saya melihat dengan kerisauan pasaran global terhadap perkembangan ekonomi semasa, Yen akan terus mendapat permintaan sehingga musim percukaian Jepun berakhir sekitar April 2019. Tambahan pula tempoh gencatan perang dagang AS-China juga akan berakhir sekitar masa yang sama, 90 hari dari Jan 1, 2019. “Big Players” juga nampaknya masih “net buyer” JPY di pasaran hadapan, sekaligus menunjukkan permintaan untuk Yen akan terus kukuh untuk tiga ke empat bulan yang akan datang.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.