Bank Pusat Amerika Syarikat, atau dikenali juga dengan nama FEDS atau Federal Reserve, dijangka akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat FOMC petang Rabu waktu New York. Pasaran meletakkan 71.5% kebarangkalian untuk kenaikan ini, yang merupakan kenaikan ke-empat sepanjang tahun ini. Kebelakangan ini juga beberapa tokoh besar dalam dunia kewangan seperti Jef Gundlach, Stan Druckenmiller, Kevin Warsh dan beberapa orang lagi sibuk mempersoalkan logiknya kenaikan kadar FEDS kali ini, lantaran suasana ekonomi global yang melemah.

Keadaan diburukkan lagi dengan Presiden Don (Donald) Trump yang sibuk dengan twitternya, mempersoalkan tindakan FEDS. Chit-chat di beberapa channel terminal reuters, bergossip mengatakan mungkin Jay (Jerome) Powell tertekan dan membuat keputusan untuk tidak menaikkan kadar kali ini dan pasaran akan bersorak dan Trump pun gembira! Beberapa head trader mengatakan itu hanya lawak jenaka dan tidak mungkin Powell tunduk kepada tekanan pasaran dan Trump. Beliau perlu menjaga kredibiliti FEDS sebagai sebuah institusi kewangan.

Ada dealer yang mengatakan besar kemungkinan FEDS akan membuat “dovish hike”. Yakni menaikkan kadar dan pada masa yang sama, memberikan isyarat bahawa kenaikan kadar akan terus dilakukan tetapi dengan lebih perlahan. Ketika ini FEDS tegas dengan “dot plot” nya untuk empat kenaikan tahun depan. Kiranya esok FEDS menurunkan “dot plot”nya kepada tiga atau dua sahaja, itu sudah cukup untuk “Dollar Sell-Off”.

Saya melihat pandangan ini ada asasnya, kerana kadar normal menurut Janet Yellen, mantan Pengerusi FEDS adalah sekitar 3%. Kenaikan esok ke paras 2.5% akan meninggalkan 0.5% untuk tahun depan. Kiranya kadar biasa sebanyak 0.25% digunakan, maka hanya akan ada dua kenaikan tahun depan. Jadi tak hairanlah minggu lepas, USD memang banyak dijual. Apapun kita nantikan keputusan FEDS esok; kerana jika ianya benar, pasaran saham akan melonjak, serta AUD, NZD, dan beberapa matawang komoditi yang lain seperti BRL dan NOK akan terus mendapat permintaan.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.