Isnin lalu dalam satu keputusan yang mengejutkan, Perdana Menteri UK Theresa May, membatalkan undian Brexit yang sepatutnya dijadualkan Selasa semalam. Keputusan yang dibuat secara tiba-tiba itu, memberikan isyarat bahawa perjanjian yang dimeterai dengan Suruhanjaya Eropah sebelum ini, akan menemui kegagalan sekiranya dibentangkan di Parlimen. PM May dilaporkan terus berangkat ke Jerman untuk berunding semula, bagi mendapatkan terma yang lebih baik. Pound merudum lebih 200 pips selepas keputusan itu, dan EUR/GBP melonjak lebih 150 pips.

Persoalannya sekarang, apakah Pound mampu bangkit semula? Agak menarik apabila dealer-dealer menerima lebih banyak order belian untuk GBP menjelang undian Brexit semalam. Malah GBP merupakan matawang yang paling banyak dijual selain AUD dan CHF. Bilik dealer melaporkan order dalam kuantiti 2-3 juta USD (10-20 lot) bertali arus memasuki terminal dan purata order harian juga meningkat lebih daripada biasa.

Namun keputusan PM May menghalang dealer-dealer dari terus menawarkan pada harga lebih tinggi, sekaligus menghantar harga ke paras yang lebih rendah. Kadar tukaran GBP/USD jatuh ke paras terendah dalam masa 18 bulan, dibawah 1.2480 hari ini sebelum dibida semula.

Saya melihat kejatuhan ini memang merupakan peluang baik untuk membeli GBP, terutamanya bagi pemegang matawang EUR, CHF dan JPY. Besar kemungkinan juga dealer-dealer telah menggunakan kejatuhan ini untuk “wash and rinse” ekoran order belian yang terlalu besar. Apapun, kita tunggu dan lihat bagaimana pasangan GBP akan menutup minggu ini.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.