OPEC membuat keputusan berani minggu lepas, apabila mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 1.2 juta tong sehari bagi menstabilkan harga. Pengurangan bekalan itu, walaupun dalam jumlah yang diharapkan pasaran, nampaknya masih belum mampu melonjakkan harga ke paras yang lebih tinggi. Ketika artikel ini ditulis, minyak masih berlegar-legar sekitar julat dagangan minggu lepas 50.10 – 54.50. Namun pivot minggu ini (52.25) yang lebih tinggi dari pivot minggu lepas (50.82), menunjukkan pasaran yang mula menstabil.

Jumaat lalu, menteri tenaga Arab Saudi, Khalid Al-Falih mengumumkan selepas mesyuarat OPEC, bahawa Saudi akan memulakan pengurangan bekalan sebanyak 900 ribu tong sehari, sekaligus meninggalkan 300 ribu sahaja lagi untuk ahli OPEC yang lain. Persetujuan yang bermula Januari depan itu, nampaknya masih belum cukup kukuh untuk pasaran terus membida minyak mentah. Saya kira kebanyakan pelabur masih mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum memasuki pasaran. Tambahan pula hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi sebelum tahun 2018 berakhir.

Harga perlu kekal berada di atas paras 52.25 (pivot mingguan) dan memecah rintangan 54.50, sebelum saya merancang membuat sebarang belian; kerana masih terdapat kemungkinan “wash n rinse” dalam keadaan pasaran yang sedang cuba berubah arah. Alhamdulillah, saya agak bernasib baik kerana buy stop pada $57.80 yang dirancang seperti dalam artikel sebelum ini tidak dipenuhi. Jadi kita tunggu dulu, kerana lonjakan ke atas pun nampaknya terhad, dengan minat jualan pada pivot bulanan (55.16) dan pivot tahunan (54.22).

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.