Keadaan dalam bilik dealer agak panas awal minggu ini dan semakin panas Rabu kelmarin, apabila berita mengatakan Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou, ditahan di lapangan terbang Vancouver, Kanada lewat hari Ahad. Beliau menghadapi tuduhan berkaitan transaksi Huawei dengan Iran yang menghadapi sekatan dagangan AS. Kini pihak berwajib AS mahukan Kanada menghantar Wanzhou ke AS untuk dibicarakan.

Ketegangan yang muncul secara tiba-tiba, selepas pasaran ceria dengan keputusan mesyuarat G20 yang positif, menyebabkan pasaran saham merudum, emas dan Yen dibida sepanjang minggu ini. Tak cukup dengan itu, Rabu pula berita sampai bahawa Suruhanjaya Eropah mendedahkan rancangan mereka untuk untuk mengurangkan kebergantungan kepada Dollar AS, terutamanya dalam sektor tenaga. Suruhanjaya Eropah berkata mereka akan mewujudkan kontrak dagangan hadapan dan harga minyak dalam sebutharga Euro.

Langkah ini dilihat selari dengan China yang telah mewujudkan kontrak minyak dalam sebutharga Yuan bulan Mac lalu. Eropah dan China yang merupakan pengimpot minyak terbesar dunia, merasakan adalah wajar kontrak minyak juga disebutharga dalam matawang mereka selain USD, GBP, dan CAD. Dan yang lebih pelik lagi, bila EU, yang merupakan sekutu kuat AS, membuat keputusan untuk meneruskan dagangan dengan Iran!

Apapun saya melihat drama ini merupakana satu ancaman kepada kedudukan USD sebagai matawang utama dunia; kerana itulah AS beria-ia mahu mengenakan tarif kepada semua rakan dagangannya, termasuk sekutu kuatnya di Asia – Jepun! Mungkin tidaklah dalam masa setahun dua USD bakal hilang takhta, kerana China masih merupakan pemegang terbesar bon AS dan perlu menjual lebih US$3 trillion di pasaran modal.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.