Bank Pusat Jepun (BoJ) dalam kenyataan terbarunya hari ini, mengatakan program ransangan kewangan masih perlu untuk menjana ekonomi Jepun yang masih lemah dan mencapai sasaran inflasi 2%. Kenyataan itu dibuat oleh ahli lembaga yang baru, Masako Masai, dalam satu perjumpaan bersama ahli-ahli perniagaan di Fukuoka, Jepun. Menurut beliau lagi, ransangan kewangan boleh menjana ekonomi, tetapi pada masa yang sama, kadar yang rendah dalam jangka masa panjang boleh mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini kepada pasaran bon dan institusi kewangan.

Oleh itu menurut beliau, BoJ sentiasa memantau kos kewangan dan manfaatnya ke atas ekonomi dan pasaran modal Jepun. Tambah beliau lagi, peningkatan harga masih lagi lemah walaupun ekonomi berkembang baik ekoran tabiat masyarakat Jepun yang terlalu berhati-hati dalam berbelanja dan sektor korporat yang juga sentiasa mengawal kos. Ketika ini, inflasi tahunan Jepun hanya sekitar 1.4% berbanding 2% yang mahu dicapai.

Dalam program ransangan kewangan ini, BoJ telah menurunkan kadar jangka pendek kepada 0.1% di bawah sifar dan 0% untuk kadar jangka panjang dalam mencapai sasaran inflasinya. Program yang dimulakan selepas krisis kewangan Asia 1997 itu kini berdepan dengan pelbagai kritikan ekoran ianya dilihat tidak begitu berkesan dalam menaikkan inflasi.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.